Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jumlah itu termasuk graduan yang menunggu penempatan, mengikuti latihan dan menyambung pengajian dalam enam bulan selepas tamat pengajian.
“Kerajaan turut memperuntukkan RM75 juta tahun ini bagi pelaksanaan program berkaitan kebolehpasaran dan kebolehdapatan kerja graduan untuk kumpulan sasar ini,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Pelancaran Inisiatif Pembangunan Modal Insan, di sini, semalam.
Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KPT, Datuk Omar Abd Rahman.
MoU di antara KPT dan Might-Meteor Advanced Manufacturing (MMAM) Sdn Bhd itu dimeterai sempena majlis pelancaran Seminar Pemantapan Program Kebolehdapatan Kerja Graduan dan Program ‘Siri Pemimpin’.
Khaled berkata, berbanding 2007, keupayaan graduan mendapat kerja meningkat tahun lalu dalam semua kategori iaitu 77.4 peratus di Universiti Penyelidikan, Universiti Komprehensif (72.2 peratus) dan 74.2 peratus bagi Universiti Berfokus.
Katanya, kerjasama antara KPT-MMAM membuktikan komitmen kerajaan menangani isu kebolehpasaran graduan dalam bidang teknologi tinggi menerusi perkongsian berkesan antara sektor awam dan swasta bagi menambah baik kemahiran bakat tempatan supaya memenuhi keperluan industri.
Program ‘Siri Pemimpin’ bertujuan meningkatkan kemahiran graduan sebagai pakar industri berteknologi tinggi pada masa depan dengan menyasarkan pembangunan kepakaran yang khusus dalam teknologi elektrik dan elektronik, teknologi hijau serta industri minyak dan gas
SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 28.06.2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan