Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.
Memaparkan catatan dengan label Transformasi Kerajaan Malaysia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Transformasi Kerajaan Malaysia. Papar semua catatan

Khamis, 28 Jun 2012

Kerajaan komited tingkat pendapatan isi rumah

KERAJAAN akan memberi tumpuan meningkatkan pendapatan isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,300 sebulan dalam usaha mengurangkan jurang pendapatan di negara ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata kerajaan akan memastikan tiada segmen dalam masyarakat yang ketinggalan apabila negara mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.
Justeru itu, katanya, adalah penting bagi kerajaan untuk meneruskan usaha dengan bersungguh-sungguh dalam menangani isu yang dihadapi isi rumah berpendapatan rendah seperti peningkatan kos hidup, kemahiran rendah, sikap mudah selesa dan kurang pengetahuan mengenai program bantuan.
Beliau berkata kerajaan telah mengambil beberapa langkah dalam membantu isi rumah berpendapatan rendah dan miskin termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), iaitu bantuan wang tunai RM500 diberikan kepada isi rumah yang mempunyai pendapatan di bawah RM3,000.

“Seramai 4.3 juta isi rumah mendapat manfaat daripada bantuan itu (BR1M). Jumlah isi rumah yang menerima bantuan ini agak besar iaitu merangkumi 68 peratus daripada keseluruhan jumlah isi rumah di negara ini. Justeru itu, keadaan ini menunjukkan kepada kerajaan, lebih banyak perlu dilakukan untuk meningkatkan taraf hidup isi rumah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di mesyuarat kumpulan fokus bagi membantu isi rumah bawah 40 peratus yang mempunyai pendapatan rendah dan menyelesaikan ketidaksamaan pendapatan, di Putrajaya semalam.

Ahmad Husni berkata, kerajaan berjaya mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam mengurangkan kemiskinan di negara ini dalam tempoh lebih 40 tahun lalu.
Katanya, kadar kemiskinan sudah menurun daripada 49.3 peratus pada 1970 kepada 3.6 peratus pada 2010 sementara kemiskinan tegar secara praktikal sudah dihapuskan.

Di samping itu, Ahmad Husni berkata terdapat keperluan kerjasama yang lebih baik di kalangan agensi yang terbabit dalam program membantu golongan miskin.

Beliau berkata terdapat isu penting lain yang perlu diberi perhatian iaitu terdapat potensi wujudnya golongan miskin baru iaitu mereka yang tercicir dari sekolah rendah dan menengah


SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 28.06.2012

Selasa, 3 April 2012

Caruman KWSP dikaji semula

2012/04/03

Jangka hayat rakyat Malaysia 75 tahun

KUALA LUMPUR: Jumlah caruman bulanan daripada pekerja dan majikan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dikaji semula untuk memastikan wang simpanan pekerja mencukupi apabila mereka mencapai usia persaraan kelak. Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata golongan pekerja khususnya mereka yang memperoleh pendapatan bulanan RM700 dan ke bawah menghadapi masalah kewangan selepas bersara dan wang simpanan KWSP habis dalam masa tiga tahun

“Ada pelbagai faktor yang menyebabkan duit simpanan KWSP mereka habis mengeluarkannya selepas mencapai usia persaraan, antaranya ialah kos harian yang semakin meningkat seperti kos perubatan dan hutang pinjaman yang belum diselesaikan sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Antarabangsa KWSP 2012 anjuran KWSP bertema 'Evolusi Dinamik Dunia Pencen' yang berlangsung selama dua hari mulai semalam.

Subramaniam berkata, jumlah caruman sedia ada tidak sesuai diguna pakai pada masa sekarang kerana jangka hayat rakyat Malaysia sudah meningkat sehingga 75 tahun ke atas berbanding jangka hayat 60 tahun pada sekitar 1960-an dan 1970-an.

Katanya, kementerian akan mencari kaedah terbaik dalam memastikan pekerja menikmati kehidupan selesa sepanjang hayat mereka selepas melepasi usia persaraan dengan mewujudkan skim caruman KWSP lebih baik pada masa depan.

“Antara kaedah itu ialah menyediakan insentif kepada majikan sekiranya mereka menggunakan khidmat warga emas di organisasi mereka, dan ia juga dapat menyelesaikan masalah kemiskinan warga emas,” katanya.
Kementerian akan mendapatkan cadangan daripada Seminar Antarabangsa KWSP 2012 untuk merangka skim caruman yang lebih sesuai.

Subramaniam berkata, selain cadangan untuk menaikkan jumlah caruman, kementerian akan mencadangkan kepada majikan untuk meningkatkan usia persaraan 55 tahun sekarang dan melanjutkan perkhidmatan mereka.

Pada majlis berasingan, beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara KWSP dan Universiti Malaya untuk penubuhan Pusat Penyelidikan Keselamatan Sosial di Fakulti Ekonomi Pentadbiran UM. – BERNAMA 


SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 03.04.2012

Jumaat, 30 Mac 2012

Bursa Malaysia terbit bon pelabur runcit


2012/03/30

BURSA Malaysia Bhd merancang memperkenalkan terbitan bon runcit khusus untuk pelabur runcit dalam tempoh separuh kedua tahun ini.

Ketua Eksekutifnya Datuk Tajuddin Atan, berkata bon dagangan di bursa (ETF) itu boleh dibeli menerusi broker

Ia dapat menawarkan kestabilan kepada pelabur runcit dan membolehkan mereka mendapat pendedahan kadar faedah

“Bon selalunya diniagakan di pasaran atas kaunter dan peserta pula ialah pelabur institusi.

“Mengapa tidak tawarkan kepada pelabur runcit yang mempunyai ketelusan dan ia boleh mewujudkan mudah tunai dan memberikan kestabilan," katanya selepas mesyuarat agung tahunan ke-35 Bursa Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Tajuddin berkata, Bursa Malaysia sedang meneliti beberapa terbitan dan mungkin akan menerbitkan bon runcit itu dalam separuh kedua tahun ini selepas menyelesaikan beberapa perkara.

Beliau berkata, penerbitan bon runcit itu nanti akan menyaksikan Bursa Malaysia menawarkan kelas aset lain membolehkan pelabur beralih dari saham kepada instrumen hutang.
“Saya fikir satu isu penting Bursa mahu lakukan ialah meningkatkan keupayaan dan pengetahuan pelabur kerana portfolio mereka bukan hanya meliputi ekuiti (saham) tetapi instrumen hutang yang mempunyai pendedahan kadar faedah dengan pelancaran bon runcit,” katanya. – BERNAMA


SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 30.03.2012

Jumaat, 2 Mac 2012

Semakan SBPA siap awal April

Oleh Abdul Halim Yusoff dan Hanneeyzah Bariah Baharin

2012/03/02

KUALA TERENGGANU: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dijangka disiapkan awal April, tempoh ditetapkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan jawatankuasa semakan semula yang diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam sudah mencapai banyak kemajuan untuk memastikan proses semakan semula itu disiapkan pada tarikh ditetapkan.
“Saya dimaklumkan Perdana Menteri sudah menetapkan tempoh hingga awal April. Apa pun tunggulah kerana saya percaya apabila tiba masa sesuai, Perdana Menteri akan mengumumkan bentuk dan format bagaimana skim itu hendak dilaksanakan,” katanya selepas perjumpaan khas dengan penjawat awam negeri dan Persekutuan sempena lawatan kerja sehari ke Terengganu, semalam.
Terdahulu ketika berdialog dengan penjawat awam, Muhyiddin berkata, semakan semula SBPA diharap memuaskan hati semua penjawat awam kerana membabitkan arahan serta campur tangan terus daripada Perdana Menteri.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) prihatin keluhan penjawat awam dengan menangguhkan skim itu dan melantik panel kajian semula dengan penyertaan pelbagai pihak termasuk CUEPACS.

Muhyiddin berkata, kerajaan BN yang mentadbir negara ini sentiasa membela penjawat awam kerana peranan mereka penting untuk menterjemahkan dasar dan aspirasi yang dirumus kerajaan bagi membela rakyat.

“Kerajaan BN akan pertahankan kakitangan awam. Jika kerajaan beralih tangan, Nauzubillah. Justeru, saya harap penjawat awam dan keluarga mereka termasuk di Terengganu untuk terus bersama kita,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan seorang penjawat awam mengenai nasib kakitangan kerajaan jika pentadbiran negara beralih kepada parti lain.

Timbalan Perdana Menteri berkata, komitmen kerajaan BN membela kakitangan awam dan menyemarak pembangunan negara jelas menerusi pelbagai dasar sedia ada, sedangkan pembangkang tampil dengan Buku Jingga dengan pakar ekonomi berpendapat akan menyebabkan negara bankrap dalam tempoh dua tahun selepas pelaksanaan.

Buku Jingga turut menggariskan usaha pembangkang untuk mengurangkan penjawat awam dengan mengatakan Malaysia mempunyai jumlah kakitangan awam berbanding nisbah tenaga kerja, antara tertinggi di dunia.

Muhyiddin berkata, penjawat awam perlu lebih responsif melaksanakan agenda dan aspirasi kerajaan dengan turut sama berdamping atau turun padang bertemu rakyat bagi mendapatkan maklum balas rakyat berhubung sesuatu dasar yang mahu dilaksanakan.

Sementara itu, mengulas kemungkinan kerajaan menamatkan pengambilan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk Kursus Perguruan Lepasan SPM, Muhyiddin berkata, belum ada keputusan dibuat setakat ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga sudah membuat lantikan Pengarah Pelajaran Terengganu yang kosong sejak tiga bulan lalu dan pengumuman dibuat dalam tempoh terdekat


SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 2.2.2012

Rabu, 22 Februari 2012

Peluang jual produk KR1M

BERA 21 Feb. – Jualan produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) akan diperluaskan ke seluruh negara tidak lama lagi apabila ramai peniaga kedai runcit memohon untuk menjualnya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata, mereka yang berhasrat menjual produk berkenaan boleh mendapatkan borang di kementerian itu sehingga akhir Mac ini.
Menurut beliau, sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi meneliti setiap permohonan tersebut untuk melihat kelayakan pemohon sebelum diluluskan.
“Kami menyasarkan sebanyak 60 KR1M akan dibuka tahun ini dengan 25 buah sudah beroperasi sejak tahun lepas.
“Dengan lebih banyak penyertaan peniaga kedai runcit, produk KR1M akan lebih mudah didapati dan secara tidak langsung membolehkan ia dijual ke seluruh negara termasuk kawasan luar bandar,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada penduduk kawasan Parlimen Bera di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan akan memberi peruntukan bagi mengubah suai dan menyediakan peralatan serta kemudahan mempamerkan produk KR1M kepada pemilik kedai runcit yang permohonan mereka diluluskan.
Ismail Sabri berkata, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM40 juta tahun ini bagi mengubah suai KR1M termasuk menyediakan almari, rak dan peralatan lain yang diperlukan.
Bagaimanapun, jelasnya, peniaga perlu menyediakan modal sendiri untuk membeli barang-barang tersebut.
Dalam pada itu, beliau menafikan kedai berkenaan menyekat rezeki peniaga lain, malah peniaga runcit sedia ada digalakkan menjual produk tersebut di kedai masing-masing dengan menyediakan rak berasingan daripada produk bukan KR1M


SUMBER DARIPADA UTUSAN ONLINE MALAYSIA 22.02.2012

Selasa, 21 Februari 2012

Syarat baharu AirAsia?

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Kemelut antara Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dan AirAsia Bhd. (AirAsia) bagaikan tiada penghujungnya apabila syarikat penerbangan tambang murah itu dipercayai mengenakan syarat baharu sebelum boleh berpindah ke KLIA2.
Kali ini AirAsia dikatakan meminta MAHB menyediakan kawasan transit bagi kemudahan perkhidmatan penyajian makanan atau katering yang hampir dengan terminal tersebut.
Bagaimanapun, permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi oleh MAHB kerana lokasi yang menjadi pilihan AirAsia tidak boleh 'diganggu'.
Menurut sumber yang enggan namanya didedahkan itu berkata, kawasan yang diminta AirAsia merupakan lokasi yang diperuntukkan untuk penambahan bangunan satelit pada masa depan.
''Dalam surat AirAsia kepada MAHB menyatakan sekiranya kawasan transit untuk kemudahan katering (staging area) tidak dipenuhi, AirAsia tidak mahu berpindah ke KLIA2," kata sumber itu kepada Utusan Malaysia di sini.
Kemudahan transit bagi katering AirAsia kini terletak bersebelahan dengan Terminal Tambang Murah (LCCT) sedia ada.
Jarak antara LCCT dan KLIA2 adalah kira-kira 15 kilometer, dipercayai boleh meningkatkan kos operasi AirAsia, sekali gus tidak menepati model perniagaan syarikat itu yang selama ini dipertahankan.
Sumber berkata, meskipun AirAsia membuat syarat tersebut tetapi ia sedikit pun tidak menjejaskan pembangunan KLIA2 yang kini sudah 50 peratus siap dan mendahului jadual selama 73 hari.
Bagaimanapun, beliau berkata, lokasi pembinaan menara kawalan di KLIA2 terpaksa diubah selepas mendapati wujudnya 'blind-spot' pada tahap 30 peratus disebabkan ketinggian kompleks bersepadu.
Dengan perubahan kedudukan, 'blind-spot' kini hanya dua peratus dan ia tidak lagi menjadi masalah.
Sumber itu turut mendakwa AirAsia sentiasa mengemukakan pelbagai permintaan baharu setiap kali mesyuarat mingguan antara syarikat penerbangan tersebut dan MAHB termasuk kemudahan staging area itu.
Ditanya apakah pendirian MAHB berhubung syarat baharu AirAsia itu, sumber itu berkata, pihaknya difahamkan tumpuan dan keutamaan operator lapangan terbang itu adalah menyiapkan KLIA2 mengikut tarikh yang dijanjikan iaitu April 2013.
''Sama ada AirAsia hendak pindah atau tidak, bukan keutamaan MAHB kerana yang penting KLIA2 perlu disiapkan.
''Kalau hendak melayan semua karenah AirAsia sampai bila pun KLIA2 tidak siap," kata beliau lagi.
Mengulas mengenai pembinaan jambatan aero, sumber berkata, MAHB akan tetap membina kemudahan itu.
''Mula-mula memang tidak ada (jambatan aero) tetapi kami diarahkan oleh kerajaan atas dasar keperimanusiaan terhadap para penumpang AirAsia.
''Tetapi, sama ada kemudahan itu akan dibina sebelum atau selepas pembukaan KLIA2, ia terpulang kepada MAHB.
''Kalau hendak binanya sekarang pun boleh juga, MAHB tidak ada masalah mengenainya," kata sumber itu lagi


SUMBER DARIPADA UTUSAN ONLINE 21.02.2012

Jumaat, 17 Februari 2012

Sabah dijangka terima pelaburan RM77.5 bilion

2012/02/17

   NAJIB   sambil diperhatikan Musa  (tiga dari kiri)  menyodok tanah sebagai simbolik pelancaran projek SAMUR di Kampung Banting, Sipitang, semalam.
NAJIB sambil diperhatikan Musa (tiga dari kiri) menyodok tanah sebagai simbolik pelancaran projek SAMUR di Kampung Banting, Sipitang, semalam.
KOTA KINABALU: Sabah dijangka menerima 31 Projek Permulaan (EPP) dengan unjuran pelaburan mencecah RM77.5 bilion menjelang 2020, sekali gus menjana peningkatan RM35.5 bilion terhadap Pendapatan Negara Kasar (GNI) selain menyediakan sekurang-kurangnya 150,000 peluang pekerjaan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kajian Makmal Koridor dan Bandar Utama Bagi Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Greater Kota Kinabalu mendapati ia bakal memberi impak positif, sekali gus melonjakkan pertumbuhan ekonomi Sabah kepada purata 9 peratus setahun dan berupaya meningkatkan taraf ekonomi rakyat Sabah.
“Kerajaan komited menzahirkan matlamat ditetapkan menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) dalam usaha memantapkan kedudukan negara sebagai antara ekonomi utama Asia,” katanya berucap melancarkan Hari Terbuka SDC – Program Koridor dan Bandar Utama di Magellan Sutera Harbour Resort di sini, semalam.
Kerajaan komited zahirkan matlamat ditetapkan menerusi ETP dalam usaha memantapkan kedudukan negara sebagai antara ekonomi utama Asia. - Najib Razak, Perdana Menteri
Di SIPITANG, Najib berkata, janji pembangkang menaikkan royalti minyak kepada 20 peratus untuk Sabah mustahil dilaksana kerana peningkatan royalti kepada satu negeri dengan sendirinya menjejaskan peruntukan lain.

Menyifatkannya gimik pilihan raya, Najib berkata, royalti minyak tidak boleh diagih berasingan, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks menyeluruh dengan mengambil kira pendapatan negara dan peratusan diagih kepada Sabah serta negeri lain bagi program pembangunan.


SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 17.02.2012

Khamis, 16 Februari 2012

PERKASA cadang SPR buka kaunter daftar pengundi di universiti

2012/02/16

MELAKA: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang memandang berat isu 3.7 juta rakyat belum mendaftar sebagai pengundi, mencadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya membuka kaunter pendaftaran pemilih secara tetap di semua universiti.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, juga meminta SPR menggunakan kenderaan bergerak ke kawasan kilang sebagai kaunter pendaftaran

 "SPR perlu memastikan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada jumlah tersebut didaftarkan sebagai pemilih sebelum pilihan raya umum berlangsung," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Perkasa Melaka di sini, malam tadi.
Ibrahim berkata, beliau memandang serius masalah berkenaan dan mengarahkan semua ketua wira dan wira PERKASA di peringkat negeri dan daerah di seluruh Semenanjung Malaysia mengambil tindakan membantu anak muda yang berusia 21 tahun berdaftar sebagai pemilih. - BERNAMA

SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 16.02.2012

Khamis, 2 Februari 2012

PERODUA lancar Alza SR

2012/02/02

ALZA SR dijual antara RM53,013.50 hingga RM56,513.50 seunit.
ALZA SR dijual antara RM53,013.50 hingga RM56,513.50 seunit.
PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), pengeluar kenderaan mampu milik nasional, memperkenalkan model kenderaan pelbagai guna (MPV) kompak dipertingkatkan, Alza Smart Ride (Alza SR) baru pada harga atas jalan antara RM53,013.50 dan RM56,513.50 seunit.

Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, PERODUA menyasar untuk menjual sekitar 400 unit sebulan bagi model baru yang dipertingkatkan itu.
Katanya, sasaran itu sekali gus merangkumi 13 peratus daripada jualan bulanan model Alza di rantau ini.
Katanya, model dipertingkat itu disasarkan kepada golongan muda berkeluarga yang mahukan MPV yang fleksibel dengan ciri-ciri model sedan.

“Alza SR adalah sesuai untuk mereka yang mahukan ruang lebih besar untuk kegunaan harian serta untuk perjalanan ‘balik kampung’.

“Pengenalan varian baru ini akan meningkatkan keupayaan dan keselesaan pengguna di Malaysia yang berhasrat mendapatkan kenderaan lebih luas dan selesa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Model Alza SR baru yang dipamerkan di 178 bilik pameran seluruh negara dan boleh ditempah bermula hari ini.
Ia didatangkan dengan tiga warna pilihan menarik iaitu Glittering Silver, Ivory White dan warna baru Mystical Purple.

Selain itu, model baru yang dipertingkatkan itu juga ditawarkan dengan ciri brek tangan yang boleh didapati dalam varian automatik selain turut menawarkan jenis tempat duduk hadapan berasingan berbanding jenis bercantum sebelum ini.

Aminar Rashid berkata, Perodua Alza adalah model MPV paling diminati dengan 81,000 unit terjual setakat ini sejak ia dilancarkan pada November 2009.

“Alza SR menawarkan pengguna model serba boleh dan pelbagai fungsi walaupun ciri yang ditawarkan adalah kurang berbanding jenis standard dan varian lain.

“Namun begitu, PERODUA sesekali tidak pernah berkompromi berhubung ciri keselamatan dan estetika model ini.

“PERODUA tampil dengan model mampu milik bagi memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan,” katanya


SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 2.2.2012

Sabtu, 28 Januari 2012

Borang pinjaman SARA 1Malaysia diedar Isnin

2012/01/28

 HAMAD KAMA PIAH   (tiga dari kiri)   bersama wakil bank yang mengendalikan SARA 1Malaysia    (dari kiri)   Ketua Pengurusan Produk Pengguna RHB, Lee Kai Kwong;  Hong Tat; Malayan Development Holding Sdn  Bhd  diwakili Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan (MOF), Datuk Dr  Irwan Serigar Abdullah; Pengarah Eksekutif CIMB Bank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir dan Timbalan Ketua Eksekutif BSN, Yunos Abdul Ghani.
HAMAD KAMA PIAH (tiga dari kiri) bersama wakil bank yang mengendalikan SARA 1Malaysia (dari kiri) Ketua Pengurusan Produk Pengguna RHB, Lee Kai Kwong; Hong Tat; Malayan Development Holding Sdn Bhd diwakili Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan (MOF), Datuk Dr Irwan Serigar Abdullah; Pengarah Eksekutif CIMB Bank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir dan Timbalan Ketua Eksekutif BSN, Yunos Abdul Ghani.
KUALA LUMPUR: Golongan berpendapatan rendah boleh mendapatkan borang untuk menyertai Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia) dari Malayan Banking Bhd, RHB Bank Bhd, CIMB Bank Bhd dan Bank Simpanan Nasional Bhd (BSN) mulai Isnin ini.

Presiden yang juga Ketua Eksekutif Kumpulan, Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata mereka yang layak berpeluang memohon pinjaman berjumlah RM5,000 bagi membolehkan mereka melabur dalam Amanah Saham 1Malaysia (AS1M)

“Mereka hanya perlu membayar minimum RM84 sebulan selama lima tahun, manakala insentif bulanan akan dibayar kepada peserta dalam bentuk unit tambahan AS1M,” katanya sambil menambah sejumlah RM500 juta diperuntukkan kepada 100,000 isi rumah yang akan diagihkan berdasar permohonan awal didahulukan.
Mereka hanya perlu membayar minimum RM84 sebulan selama lima tahun, manakala insentif bulanan akan dibayar kepada peserta dalam bentuk unit tambahan AS1M. - Hamad Kama Piah Che Othman, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Permodalan Nasional Bhd
Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian perjanjian antara Malaysian Development Holdings Sdn Bhd (MDH), syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh Kementerian Kewangan bagi menguruskan SARA 1Malaysia, dengan empat bank tempatan berkenaan di sini, semalam.

Hamad Kama Piah berkata, permohonan akan dibuka selama setahun atau sehingga semua peruntukan pembiayaan habis dilanggan.

Kerajaan menyediakan peruntukan subsidi sebanyak RM100 juta menerusi MDH. Syarikat itu akan membuat pinjaman bernilai RM500 juta daripada bank tempatan bagi membolehkannya melabur sebanyak 500 juta unit dalam AS1M yang mana pulangannya diagihkan kepada pelabur SARA 1Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Presiden yang juga Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Lim Hong Tat, berkata peserta SARA 1Malaysia boleh mengharapkan pulangan pelaburan (ROI) lebih 12 peratus setahun, iaitu antara ROI unit amanah tertinggi pernah ditawarkan di negara ini.
Beliau berkata, menerusi skim itu peserta hanya perlu membayar RM84 sebulan dan selepas lima tahun, sekiranya tiada pengeluaran dibuat sepanjang tempoh itu, akan meraih pulangan RM13,000.

Pemohon yang mempunyai jumlah pendapatan isi rumah antara RM500-RMRM3,000 sebulan layak menyertai

SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 28.1.2012


'Siapa cepat dia dapat' - MDH


(dari kiri) Au Yong See Wong, Lim Hong Tat, Hamad Kama Piah Che Othman, Irwan Serigar Abdullah, Suleiman Mohd. Tahir, dan Yunos Abd. Ghani pada majlis memeterai perjanjian tawaran pinjaman bank Sara 1Malaysia, semalam.


KUALA LUMPUR 27 Jan. - Penyertaan bagi Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) hanya boleh dibuat melalui pinjaman yang disediakan oleh kerajaan melalui empat institusi perbankan yang dilantik.
Bank-bank itu ialah Malayan Banking Bhd. (Maybank), CIMB Bank, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Pengerusi Malaysia Development Holdings Sdn. Bhd. (MDH), Datuk Dr. Irwan Serigar Abdullah berkata, setiap individu perlu meminjam sebanyak RM5,000 seorang bagi setiap isi rumah tanpa dikenakan kadar faedah.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan berkata, MDH yang berperanan sebagai syarikat khas bagi pelaksanaan skim itu memperuntukkan sebanyak RM100 juta sebagai subsidi membayar kadar faedah pinjaman pelabur yang layak.
Permohonan bagi penyertaan skim itu boleh dibuat mulai Isnin ini, di bank-bank terlibat dengan membawa kad pengenalan pemohon (dua salinan), kad pengenalan pasangan serta dokumen pengesahan gaji tiga bulan pemohon dan pasangan.
''Memandangkan skim ini terhad kepada 100,000 isi rumah yang berkelayakan, penyertaan dibuat berdasarkan siapa cepat, dia dapat, walaupun permohonan dibuka selama setahun.
''Namun, ia masih bergantung kepada syarat-syarat bank, pihak yang meluluskan permohonan setiap pemohon,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian tawaran pinjaman bank Sara 1Malaysia di sini hari ini.
Majlis menandatangani perjanjian itu diwakili oleh Timbalan Presiden Maybank, Lim Hong Tat, Pengarah Eksekutif CIMB Bank, Datuk Suleiman Mohd. Tahir, Pemangku Pengarah Runcit RHB, Au Yong See Wong dan Timbalan Ketua Eksekutif BSN, Yunos Abd. Ghani.
Irwan berkata, setiap permohonan dijangka mengambil masa seminggu untuk diproses dan sebarang keputusan akan diberitahu oleh pihak bank.
Beliau menambah, sejak Sara 1Malaysia dilancarkan pada 12 Januari lalu, reaksi dan maklum balas yang diterima cukup hangat.
Permohonan terbuka kepada semua warga Malaysia berumur 18 tahun hingga 58 tahun dan memiliki pendapatan kasar kurang RM3,000 sebulan dan tidak muflis.
Tambahnya, pendekatan itu adalah selaras dengan tujuan skim tersebut untuk merangsang golongan yang berpendapatan RM3,000 ke bawah untuk melabur dan pada masa sama membantu mengurangkan beban.
Para peserta Sara 1Malaysia yang layak akan mendapat insentif sebanyak RM134 sebulan daripada pelaburan RM5,000 yang dibuat dalam Amanah Saham 1Malaysia (AS1M).
Menurut beliau, agihan permohonan penyertaan skim itu melalui bank-bank berkenaan dibuat di seluruh negara secara sama rata.
''Kami akan menggunakan data Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam pelaksanaan agihan skim ini,'' ujarnya.
Ditanya adakah MDH bercadang untuk menambah penyertaan pelaburan skim itu jika sambutan baik, beliau berkata: "Setakat hari ini, kami tidak ada rancangan untuk menambahnya. Kita tunggu dan lihat dulu," katanya

SUMBER DARIPADA UTUSAN MALAYSIA ONLINE 27.1.2012



Sara 1Malaysia bukan skim cepat kaya

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) bukan skim cepat kaya kerana ia diwujudkan untuk golongan berpendapatan rendah dengan bantuan kerajaan.
Presiden dan Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Bhd., Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, skim berkenaan memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah menjadi pelabur dan memperoleh insentif bulanan.
''Skim cepat kaya untuk orang kaya kerana mereka menggunakan duit sendiri untuk melabur tetapi Sara 1Malaysia pelaburan dibuat melalui pinjaman.
''Dengan pinjaman RM5,000 selama lima tahun, pelabur akan memperoleh insentif RM134 sebulan.
''Sekiranya insentif itu tidak diambil dan dilabur semula sehingga lima tahun, pelabur akan mendapat RM13,000 selepas pinjaman dibayar.
''Kalaupun, RM134 itu diambil, pada akhir pinjaman selama lima tahun, pelabur masih memiliki RM5,000,'' katanya di sini hari ini.
Selain insentif, para pelabur yang berjaya menyertai Sara 1Malaysia turut mendapat agihan pendapatan tahunan Amanah Saham 1Malaysia berdasarkan baki insentif bulanan dan bukan pelaburan sebanyak RM5,000.
Mengulas tentang syarat kelayakan penyertaan Sara 1Malaysia, Hamad Kama Piah berkata, selain syarat yang ditetapkan, individu yang mempunyai pelaburan lebih RM10,000 dalam mana-mana skim amanah yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Bhd., tidak layak menyertainya.
Beliau menambah, individu yang tiada pekerjaan, tidak layak memohon kerana tidak mampu untuk membayar pinjaman


SUMBER DARIPADA UTUSAN MALAYSIA ONLINE  27.1.2012

Jumaat, 13 Januari 2012

Dapat RM13,000 dalam 5 tahun



Dari kiri: Megala Sengalaney, Nurul Ain Ismail, Julia Jasmi, Lee Chia Ling, Fazila Shafifi Syukri dan M. Nisha meniliti risalah Skim Saraan 1Malaysia (SARA) di Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR 12 Jan. - Saringan bagi pemilihan 100,000 peserta yang layak bagi menyertai Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) akan dibuat oleh institusi kewangan yang menjadi ejen kepada Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) dan Bank Simpanan Nasional.
Bank-bank yang menjadi ejen ASNB ialah Malayan Banking Bhd. (Maybank), CIMB Bank dan RHB Bank.
Presiden dan Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, pemilihan dibuat oleh institusi kewangan berkenaan kerana mereka yang akan memberikan pinjaman sebanyak RM5,000 kepada 100,000 pelabur Sara 1Malaysia.
Ini bermakna jumlah keseluruhan pinjaman yang bakal ditawarkan oleh kesemua institusi kewangan terbabit adalah RM500 juta.
''Bagaimanapun, kami akan memantau saringan tersebut bagi memastikan hanya para peserta yang betul-betul layak menyertai skim ini.
''Harapan kami ialah adalah lebih baik sekiranya setiap satu isi rumah yang berkelayakan terpilih menyertai skim itu,'' katanya ketika ditemui selepas pelancaran Sara 1Malaysia di sini hari ini.
Majlis pelancaran Sara 1Malaysia disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, peminjam yang berjaya menyertai Sara 1Malaysia perlu membayar balik pinjaman secara ansuran selama 60 bulan (lima tahun) dengan kadar faedah yang cukup minimum, bagaimanapun tidak menjejaskan institusi kewangan yang terlibat.
''Yang pasti bank-bank yang terlibat dalam skim ini masih boleh menampung kos (ke atas pinjaman yang diberikan,'' tambah beliau.
Dengan pelaburan yang dilaburkan dalam Amanah Saham 1Malaysia, para pelabur Sara 1Malaysia akan memperoleh pulangan sebanyak RM134 setiap bulan.
''Jika ditolak bayaran ansuran sebulan sebanyak RM84, para peserta Sara 1Malaysia masih mempunyai baki RM50 sebulan.
''Sekiranya pelaburan itu disimpan sehingga tempoh lima tahun, mereka mampu memperoleh sebanyak RM13,000 dan sekiranya RM134 itu diambil secara konsisten atau kadang-kadang setiap bulan, jumlah yang tertinggal pada akhir tempoh lima tahun adalah antara RM5,000 hingga RM13,000,'' katanya sambil menambah pemohon yang layak boleh mendapatkan borang permohonan di bank-bank terlibat mulai 30 Januari ini.
Mengulas bagaimana PNB mampu memberi pulangan yang cukup kompetitif daripada pelaburan yang dibuat itu, Hamad Kama Piah mengakui skim itu adalah paling inovatif.
Jelasnya, Kementerian Kewangan melalui syarikat khas (SPV), Malaysia Development Holding Sdn. Bhd. yang akan melabur sebanyak RM100 juta dalam Amanah Saham 1Malaysia


SUMBER DARIPADA UTUSAN MALAYSIA ONLINE 13.01.2012


SARA 1Malaysia

Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Shahrizan Salian
bhnews@bharian.com.my
2012/01/13

SEBAHAGIAN daripada lebih 10,000 ribu pengunjung yang hadir untuk mendapatkan maklumat pada majlis pelancaran Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam. - Foto Rosdan Wahid
SEBAHAGIAN daripada lebih 10,000 ribu pengunjung yang hadir untuk mendapatkan maklumat pada majlis pelancaran Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam. - Foto Rosdan Wahid
Skim amanah khas bantu 100,000 isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan

KUALA LUMPUR: Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia) yang dilancarkan semalam akan memberi manfaat kepada 100,000 isi rumah berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dengan jaminan pulangan antara RM5,000 hingga RM13,000 selepas lima tahun.
Setiap pelabur dibenarkan melabur maksimum RM5,000 menggunakan wang sendiri atau pinjaman dengan tempoh bayaran balik 60 bulan daripada institusi kewangan yang mengambil bahagian, iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN), Malayan Banking Berhad, CIMB Bank Berhad dan RHB Bank Berhad.
Permohonan dibuka selama setahun mulai 30 Januari atau sehingga semua peruntukkan pembiayaan habis dilanggan, yang mana lebih awal.

Kerajaan menyediakan peruntukan subsidi sebanyak RM100 juta melalui Malaysia Development Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan kerajaan untuk menguruskan SARA 1Malaysia.

Syarikat itu akan membuat pinjaman bernilai RM500 juta daripada bank tempatan bagi membolehkannya melabur sebanyak 500 juta unit dalam Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) yang pulangannya diagihkan kepada pelabur SARA 1Malaysia setiap bulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika melancarkan skim itu semalam, berkata, pendapatan bulanan setiap pelabur SARA 1Malaysia adalah terjamin, iaitu RM134 sebulan bagi yang melabur menggunakan wang simpanan sendiri, manakala yang meminjam memperoleh RM50 sebulan selepas ditolak RM84 bayaran balik.
“Jika kita menggunakan pendapatan itu (daripada pelaburan) untuk membayar balik pinjaman, kita dapat RM50 setiap bulan dan RM5,000 lagi pada akhir lima tahun.

“Saya kira sukar untuk mendapat pakej seperti ini di mana-mana tempat lain di dunia... sebab itulah kita melancarkan produk ini kerana ia memberi manfaat besar. Hari ini adalah hari yang bersejarah, falsafah 1Malaysia diterjemahkan dalam bentuk produk untuk rakyat teramai,” katanya.

Majlis turut dihadiri kira-kira 10,000 tetamu, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Skim khas itu mempunyai ciri kelainan menarik yang tidak pernah diwujudkan, iaitu satu produk pelaburan hibrid dalam unit amanah yang digabungkan dengan produk pinjaman yang mampu menjana aliran pendapatan tunai atau insentif bulanan secara konsisten.

SARA 1Malaysia diperkenal untuk menggalakkan penyertaan golongan berpendapatan rendah dalam tabungan dan pelaburan, selain membantu mereka menangani kesan kenaikan kos sara hidup.

Najib juga berkata, skim itu adalah satu lagi usaha kerajaan untuk membela kepentingan rakyat seperti subsidi beras, tepung dan petrol RON95 yang dapat dibeli pada harga rendah


SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 13.01.2012



Najib lancar Sara 1Malaysia


NAJIB Tun Razak meletakkan simbol 1Malaysia sebagai simbolik pelancaran Skim Amanah Rakyat 1Malaysia dalam upacara bersejarah di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman. – UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ


KUALA LUMPUR 12 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak melakar satu lagi detik bersejarah dalam usahanya meningkatkan taraf hidup rakyat apabila melancarkan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) yang bakal memberi manfaat kepada 100,000 isi rumah berpendapatan rendah.
Melalui skim tersebut kata Perdana Menteri, mereka yang layak akan diberi peluang membuat pelaburan sebanyak RM5,000 dalam Amanah Saham 1Malaysia iaitu salah satu produk Permodalan Nasional Berhad (PNB) sama ada melalui simpanan peserta atau dalam bentuk pinjaman.
Beliau berkata, kelayakan pemohon skim tersebut terdiri daripada isi rumah berpendapatan antara RM500 hingga RM3,000 sebulan, hasil kombinasi pendapatan antara suami dan isteri atau ibu bapa tunggal.
“Seperti saya nyatakan sekiranya mereka yang tidak mempunyai simpanan, mereka boleh membuat pinjaman sebanyak RM5,000 daripada bank-bank yang mengambil bahagian iaitu Maybank, CIMB Bank, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
“Peserta yang menyertai skim ini dijamin memperoleh pulangan sebanyak RM134 sebulan sekiranya tidak membuat pinjaman. Jika meminjam, mereka tetap memperoleh imbuhan sebanyak RM50 sebulan selepas RM84 ditolak sebagai bayaran balik pinjaman,” katanya ketika berucap melancarkan Sara 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman
Perlaksanaan Skim Sara 1Malaysia yang dilancarkan di hadapan 10,000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan hari ini, telah diumumkan terdahulu oleh Najib yang juga Menteri Kewangan pada pembentangan Bajet 2012 tahun lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, sekiranya mereka tidak mengambil pulangan yang diterima setiap bulan dalam tempoh lima tahun jumlah pendapatan keseluruhan para peserta skim terbabit boleh mencecah sebanyak RM13,000.
“Itu bagi mereka yang tidak membuat pinjaman, tetapi untuk peminjam, mereka juga masih berpeluang memperoleh pendapatan sebanyak RM5,000 selepas lima tahun ,” katanya.
Beliau percaya pakej yang ditawarkan oleh kerajaan itu sukar didapati di tempat-tempat lain.
Untuk tujuan itu katanya, kerajaan akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM100 juta melalui sebuah syarikat khas (SPV) dalam usaha memastikan skim tersebut dapat dijayakan sekali gus mampu memberi manfaat kepada golongan sasar.
Najib dalam ucapannya itu turut menekankan bahawa kerajaan akan terus berusaha memajukan ekonomi negara berdasarkan program-program transformasi yang telah ditetapkan antaranya Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE).
Katanya, tujuan diwujudkan program transformasi itu semata-mata untuk merangsang pertumbuhan ekonomi di samping menjamin kesejahteraan rakyat.
“Kita perlu kepada pertumbuhan ekonomi kerana tanpa pertumbuhan ekonomi, tak mungkin kita akan memperoleh dana dan hasil yang mencukupi bagi membangunkan kawasan-kawasan tertentu berdasarkan kepada pembangunan sosioekonomi.
“Alhamdulillah, beberapa projek raksasa yang dilancarkan di bawah program ETP seperti perlaksanaan projek Transit Aliran Massa (MRT) dilihat mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan insya-Allah kita akan mendapat pertumbuhan ekonomi yang boleh kita banggakan meskipun dunia dalam keadaan tidak menentu pada masa ini,” katanya


SUMBER DARIPADA UTUSAN ONLINE MALAYSIA 13.01.2012