Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.
Memaparkan catatan dengan label Bantuan 1Malaysia daripada kerajaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bantuan 1Malaysia daripada kerajaan. Papar semua catatan

Isnin, 19 Mac 2012

BR1M dilanjut

Oleh Nurhayati Abllah
bhnews@bharian.com.my
2012/03/19

Kerajaan lanjut tempoh buat rayuan pemohonan bantuan beri peluang terima RM500

IPOH: Tempoh mengemukakan rayuan permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sepatutnya tamat Khamis lalu, dilanjutkan sehingga satu tarikh yang belum ditentukan bagi memberi peluang kepada mereka yang layak mendapatkan bantuan RM500 bagi setiap isu rumah itu membuat permohonan

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata walaupun demikian, mereka dinasihatkan segera mengemukakan rayuan bagi mempercepatkan proses kelulusan. “Kita tidak tetapkan tarikh sampai bila, tetapi kita mengharapkan sehingga akhir Mac ini majoritinya sudah membuat rayuan. Ini disebabkan pada April ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) agensi yang dipertanggungjawabkan permohonan BR1M akan terbabit dalam proses kutipan hasil cukai

“Agensi itu sudah diberi mandat lebih luas untuk menambah hasil kutipan cukai, jadi mereka (pemohon BR1M) tidak sepatutnya berlengah untuk mengisi borang rayuan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah tapak Perpustakaan Desa Pekan Chemor, dekat sini, semalam.

Beliau berkata, keputusan itu selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini kerana kerajaan mahu memastikan setiap rakyat yang layak, menerima bantuan itu. Pertengahan bulan lalu, Najib mengumumkan kerajaan bersedia melanjutkan tempoh rayuan permohonan BR1M selepas 15 Mac bagi memastikan rakyat dengan pendapatan isu rumah kurang RM3,000 sebulan menikmati faedah daripada program berkenaan.

Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, agensi berkaitan juga menumpukan kepada senarai penerima program eKasih dan senarai individu yang direkodkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), termasuk di kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak bagi mengelak bantuan bertindih.

“Jumlah keseluruhan pemohon BR1M yang tersenarai dalam eKasih dan JKM berjumlah 750,000. Jadi, kita sedang membuat pemeriksaan bagi memastikan mereka yang sudah menerima bantuan dikeluarkan daripada senarai pemohon menunggu,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan peruntukan RM1.92 bilion untuk program BR1M sehingga 1 Mac lalu, yang memberi manfaat kepada 3.8 juta atau 59 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah. Sehingga tarikh berkenaan, 4.78 juta permohonan diterima dan 3.74 juta atau hampir 80 peratus permohonan berjaya, manakala 972,000 atau 20 peratus lagi gagal.

Antara alasan bagi yang tidak berjaya adalah permohonan bertindih, maklumat pemohon serta pasangan dan tanggungan tidak lengkap, pendapatan isi rumah melebihi RM3,000 dan pemohon atau pasangan termasuk dalam kategori pembayar cukai pendapatan. Bagaimanapun, daripada lebih 200,000 rayuan diterima setakat ini, hampir 92 peratus diluluskan kerana pemohon mengemukakan maklumat lengkap


SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 19.03.2012

Khamis, 16 Februari 2012

Rayuan BR1M dilanjut selepas 15 Mac

2012/02/16

  NAJIB bersama Muhyiddin  pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato’  Onn, PWTC, malam tadi.
NAJIB bersama Muhyiddin pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato’ Onn, PWTC, malam tadi.
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia melanjutkan tempoh rayuan permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) selepas 15 Mac depan bagi memastikan mereka yang layak menerima bantuan itu, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, langkah itu memberi peluang kepada mereka yang gagal dalam permohonan lalu untuk mendapatkan bantuan RM500, dan menikmati faedah daripada program berkenaan

“BR1M adalah satu bentuk bantuan dan faedah yang sangat berkesan dan dihargai rakyat.
“Kita ambil maklum jika ada yang tidak diluluskan tetapi difikirkan layak menikmati bantuan itu masih boleh buat rayuan dan rayuan boleh dibuat terus hingga 15 Mac depan.

“Tetapi jika sehingga tempoh itu ada lagi yang difikirkan layak, kita akan lanjutkan tempoh supaya bantuan sampai pada semua,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato' Onn, di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BR1M mula dibayar mulai 15 Januari lalu dan dijangka mengambil masa dua bulan untuk diagihkan kepada golongan sasaran.
Najib yang juga Pengerusi BN turut mengumumkan mesyuarat malam tadi meluluskan tiga daripada 11 permohonan yang diterima untuk menjadi ahli gabungan BN.

Ia membabitkan Gabungan Wawasan Generasi Felda, Persatuan Bekas Anggota KEMAS Malaysia dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia.

Ditanya mengenai logo 1Malaysia yang diwajibkan ke atas barang kawalan untuk membolehkan pengusaha menikmati subsidi, Perdana Menteri berkata gagasan itu melangkaui politik.

Mengulas mengenai tindakan pakatan pembangkang mahu mengadakan Himpunan Hijau di Kuantan pada 26 Februari ini, Najib berkata, berdasarkan peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2011, mereka berhak untuk berbuat demikian


SUMBER PENUH DARIPADA BERITA HARIAN 16.02.2012

Isnin, 19 Disember 2011

Galak mohon RM500..Siapa pun anda, asal pendapatan di bawah RM3,000.00 boleh memohon

KEWUJUDAN persatuan seharusnya memberi manfaat kepada ahli dalam menjaga kebajikan. Dalam industri hiburan, banyak persatuan ditubuhkan semata-mata meletakkan matlamat ingin memperjuangkan nasib artis tempatan.
Namun ada kalangan persatuan ini hanya gah berdiri atas nama tanpa pencapaian menerusi aktiviti yang dianjurkan. Ini berbeza dengan apa yang dilakukan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mengotakan janji mereka dalam mengadakan pelbagai aktiviti demi kebaikan ahlinya.

Berdepan pelbagai kontroversi termasuk masalah kewangan, Karyawan tidak putus asa mencari jalan agar aktiviti yang dirancang mencapai matlamatnya.

Perkembangan baru, Karyawan menyokong usaha kerajaan yang berbesar hati mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada warganegara yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan

Usaha kerajaan ini disambut baik Karyawan yang tidak ter-kecuali menyarankan artis tempatan mengambil peluang memohon bantuan in

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, mengakui ramai artis yang tidak tahu atau mungkin tidak sedar mereka juga boleh memohon mendapatkan bantuan RM500.

“Saya percaya 90 peratus artis kita mempunyai pendapatan kurang RM3,000 sebulan. Ini termasuk sama ada pelakon, penyanyi dan pemuzik kumpulan tradisional mahupun mereka yang beraksi di kelab malam.

“Kebanyakan artis kita mempunyai pendapatan tidak menentu hingga tiada penda-patan tetap. Adanya bantuan ini, ia sekurang-kurangnya dapat menampung kehidupan artis yang berpendapatan rendah.

“Bagi Karyawan, saya me-ngucapkan penghargaan kepada kerajaan atas keprihatinan membantu mereka yang berpendapatan rendah termasuk golongan artis” katanya ketika dihubungi.

Merujuk pada bantuan itu, Freddie menjelaskan Karyawan bertindak sebagai orang tengah dalam membantu artis agar mudah memohon mendapatkan wang bantuan ini. Bagi mereka yang berminat, mereka boleh mendapatkan borang bantuan ini di pejabat Karyawan.

“Karyawan akan membantu artis dalam memberi borang dan menghantar permohonan mendapatkan bantuan ini sehingga 30 Disember ini. Agihan wang bantuan dijangka diberikan dalam tempoh sebulan dari 15 Februari 2012,” katanya.

Mengenai aktiviti baru Karyawan, Freddie menyatakan, perancangan lebih tertumpu pada Biro Karyawan Muda untuk mengadakan beberapa aktiviti seperti sukan menerusi boling dan persembahan konsert.

“Ketika ini, Karyawan juga rancak mengemas kini laman sesawang kami untuk memaparkan aktiviti terbaru yang boleh disertai anggota. Untuk 2012, Karyawan merancang pelbagai aktiviti dan kami akan terus aktif demi kebajikan anggota.

“Dalam pada itu, saya difaham�kan beberapa jawatan kuasa akan ditubuhkan untuk membantu industri muzik di peringkat kerajaan dan saya berkemungkinan akan terbabit sama.

“Begitu juga hubungan Karyawan bersama Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) semakin baik. Atas faktor itu, kami akan terus bekerjasama dalam membantu industri muzik dan nasib artis.

“Mengenai Skim Pencen, ia masih belum boleh diteruskan kerana tiada dana. Apa yang perlu difokuskan kini adalah melakukan aktiviti yang boleh menjana pendapatan persatuan agar skim ini dapat disambung semula.

“Dalam merancang bermacam-macam aktiviti dan kerjasama pada tahun depan, saya berharap artis kita tidak melepaskan peluang dan bertindak cepat memohon Bantuan Rakyat 1Malaysia ini,” katanya.

Skim Pencen yang diperkenalkan Karyawan sejak lima tahun lalu terpaksa dihentikan sejak November tahun lalu akibat masalah kewangan persatuan yang
tidak mencukupi. Seramai 26 penerima dibantu di bawah skim ini yang berpeluang menerima sumbangan RM500 sebulan


SUMBER PENUH DARIPADA BERITA METRO 19.12.2011

Khamis, 8 Disember 2011

Pendapatan RM3,000 layak terima BANTUAN RAKYAT 1MALAYSIA (BR1M)

2011/12/08

Ketua keluarga boleh mohon jika di bawah kategori

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki atau wanita yang menjadi ketua kepada ahli keluarga yang tinggal serumah dan memperoleh pendapatan kasar isi rumah kurang RM3,000 dikategorikan sebagai isi rumah yang layak memohon pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam kenyataan semalam, berkata ia merangkumi individu berkahwin, ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan, bujang yang mempunyai tanggungan dan warga emas berusia lebih 60 tahun yang sebatang kara.
Katanya, setiap anak berkahwin yang mempunyai pendapatan kasar isi rumah RM3,000 ke bawah tetapi tinggal serumah dengan ibu bapa, dikira sebagai satu isi rumah berlainan.

“Pendapatan kasar isi rumah merujuk kepada pendapatan suami, isteri dan tanggungan yang masih bujang dan hanya ketua isi rumah saja yang layak memohon,” katanya.

Berikutan itu, Kementerian Kewangan membuka Bilik Gerakan untuk operasi Talian Hotline BR1M 1-800-222-500 bermula semalam bagi memudahkan orang ramai mendapat penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan BR1M.

Talian Hotline ini beroperasi setiap hari bekerja, mulai jam 9 pagi hingga 5 petang. Kementerian itu juga mengingatkan bahawa pendaftaran permohonan BR1M akan bermula pada 10 Disember ini hingga 10 Januari 2012.
Ahmad Husni berkata, borang pendaftaran boleh didapati secara percuma di Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jabatan Penerangan Malaysia, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) serta akhbar tempatan.

“Borang yang lengkap diisi hendaklah disertakan salinan kad pengenalan dan slip gaji bagi yang berkenaan dan diserahkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan/Negeri, Jabatan Penerangan, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat LHDNM,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga akan membuka pendaftaran di sekolah terpilih, dewan komuniti serta dewan orang ramai yang berdekatan, dengan dibantu petugas sambilan bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran. – BERNAMA


SUMBER PENUH DARIPADA BERITA HARIAN 08.12.2011