Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Rabu, 28 September 2011

Maybank ubah wajah 150 cawangan

Oleh Shahrizan Salian

2011/09/28

MALAYAN Banking Bhd (Maybank) menjangkakan perubahan identiti korporat kumpulan perbankan itu akan meningkatkan hasil perkhidmatan kewangan komunitinya kepada RM12 bilion menjelang 2015 berbanding RM6 bilion kini.

Kumpulan perbankan terbesar Malaysia dari segi aset itu kini adalah peneraju pasaran dalam segmen perbankan pengguna dan perniagaan dengan pendapatan daripadanya tahun kewangan lalu bernilai RM6.23 bilion, iaitu separuh daripada pendapatan keseluruhan kumpulan bernilai RM13.4 bilion.
Timbalan Presiden dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komunitinya, Lim Hong Tat, berkata perkhidmatan kewangan komuniti merangkumi segmen perbankan perniagaan, pengusaha kecil dan sederhana (PKS) serta perbankan pengguna.
Buat masa ini perkhidmatan berkenaan menyumbang sekitar 50 peratus kepada pendapatan keseluruhan kumpulan, katanya selepas pelancaran cawangan pertama Maybank dengan identiti korporat baru di Kota Damansara, semalam.

Pelancarannya disempurnakan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Hong Tat berkata program transformasi identiti cawangan itu diadakan bagi memastikan kumpulan perbankan itu dapat mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju menerusi penyediaan perkhidmatan pelanggan yang baik, mudah dan lebih segar.

Kami akan membelanjakan RM150 juta hingga RM200 juta dalam lima tahun akan datang untuk mengubah wajah 150 cawangan dan lebih 2,000 pusat urus niaga, katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Abdul Wahid berkata identiti korporat baru itu mencerminkan komitmen Maybank bukan saja untuk menukar wajah setiap cawangannya malah pengalaman perbankan penggunanya sejajar janji jenama kumpulan itu.

Kami menjadikan setiap cawangan Maybank sebagai pusat sehenti yang dapat memenuhi seluruh keperluan kewangan komuniti daripada perbankan runcit hingga perkhidmatan pelaburan dan perniagaan, katanya.

Tambahnya, program transformasi cawangan itu juga adalah sebahagian komitmen Maybank untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mesra masyarakat dan lebih dekat dengan orang ramai.

Kami bangga dapat meneruskan usaha menjadikan setiap cawangan Maybank relevan dengan semua segmen masyarakat di mana pun lokasi ia berada, katanya


SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 28.09.2011

Tiada ulasan: