Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Rabu, 27 Julai 2011

Kursus kemahiran alternatif terbaik isi masa cuti bagi pelajar lepasan SPM.


Kursus kemahiran alternatif terbaik isi masa cuti

AB. Rahim Md. Noor (kanan) beramah mesra dengan pengetua sekolah yang mengikuti seminar peluang pengajian tinggi untuk pelajar SPM dan STPM di Putrajaya, baru-baru ini.


Pelajar disaran supaya mengikuti kursus kemahiran yang disediakan oleh Kolej Komuniti sementara menunggu pendaftaran masuk ke universiti pada bulan September.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab. Rahim Md. Noor berkata, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak terpilih menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu memanfaatkan masa senggang yang panjang itu dengan mengikuti pelbagai kursus kemahiran jangka pendek oleh Kolej Komuniti di seluruh negara.
"Pelajar boleh mengambil kursus mengikut minat masing-masing dan ia boleh dijadikan platform untuk mengenal pasti potensi diri," katanya.
Beliau berkata demikian pada seminar peluang pengajian tinggi untuk pelajar SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Wilayah Persekutuan Putrajaya di Putrajaya, baru-baru ini.
Saranan tersebut disambut baik oleh 637 pelajar dan 42 guru dari sekolah di sekitar Putrajaya yang mengikuti program itu.
Bagi Syed Imran Shah Syed Abdul Jalil Shah, 17, cadangan supaya pelajar mengambil kursus kemahiran di Kolej Komuniti merupakan alternatif yang perlu diberi keutamaan berbanding bekerja sambilan atau melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak berfaedah.
"Dengan mengikuti kursus selama tiga bulan di Kolej Komuniti, kita akan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan mengumpul kredit untuk dimanfaatkan apabila melanjutkan pengajian kelak," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 18 (1) ini.
Manakala pelajar SMK Putrajaya Presint 11 (2), Nurafeeqah Shahrudin berpendapat, pelajar sewajarnya mengikuti kursus kemahiran di Kolej Komuniti kerana syarat kemasukan yang mudah serta yuran minimum serendah RM10 sahaja.
"Kepelbagaian kursus kemahiran yang ditawarkan membolehkan pelajar membuat pilihan mengikut kesesuaian kerjaya pilihan masing-masing," ujarnya.
Sementara itu, Nurul Nadia Mokhtar, 17, pula berhasrat untuk mengambil kursus kesenian yang ditawarkan oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Menurutnya, kursus kemahiran tidak menjadi pilihan utama pelajar kerana mereka tidak mendapat maklumat yang tepat dan sebelum ini sesi kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) adalah pada Julai bukannya September.
"Melalui seminar ini pelajar mendapat maklumat terkini berkaitan peluang melanjutkan pengajian, syarat kemasukan dan kemudahan pembiayaan," kata pelajar SMK Putrajaya Presint 11 (1) ini.
Pada seminar sehari itu, pelajar didedahkan kepada peluang melanjutkan pelajaran dan saluran untuk melanjutkan pelajaran mengikut pencapaian akademik, minat dan bidang pilihan masing-masing.

Tiada ulasan: