Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Jumaat, 17 Februari 2012

e-Tukar Milik Sementara wajib

Oleh Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bharian.com.my
2012/02/17

Syarikat kenderaan terpakai perlu patuhi sistem bagi lindungi pengguna

GEORGETOWN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mewajibkan semua syarikat kenderaan terpakai menggunakan Sistem e-Tukar Milik Sementara yang diwujudkan bagi melindungi kepentingan pengguna atau pemilik kenderaan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata ketika ini sistem yang diperkenalkan sejak Disember tahun lalu atas inisiatif Persatuan Penjual Kereta Terpakai tidak wajib digunakan ketika proses penjualan kenderaan.
Kami sedang memantau bagaimana sistem ini dan mungkin akan mewajibkan syarikat terpakai untuk menggunakan sistem itu. - Kong Cho Ha, Menteri Pengangkutan
"Ketika ini, kami hanya meminta syarikat penjual kenderaan terpakai menggunakan sistem itu bagi mengelakkan berulang kes pemilik kenderaan menghadapi pelbagai masalah, walaupun selepas kenderaan mereka sudah dijual atau ditukar beli dengan syarikat kereta terpakai.

"Kami memantau bagaimana sistem ini beroperasi dan mungkin akan mewajibkan semua syarikat peniaga terpakai untuk menggunakan sistem itu. JPJ bersedia untuk melaksanakannya," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pejabat JPJ Pulau Pinang Cawangan Batu Uban di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan dan Pengarah JPJ Pulau Pinang, Datuk Hassan Yaacob.

JPJ membelanjakan RM9.3 juta untuk menaik taraf pejabat berkenaan bagi memberi keselesaan kepada kakitangan dan pelanggan jabatan itu.
Tahun lalu, Kabinet memutuskan untuk melaksanakan Sistem e-Tukar Milik Sementara selepas JPJ menerima banyak aduan daripada orang ramai yang menghadapi pelbagai masalah, walaupun selepas kenderaan masing-masing sudah dijual atau ditukar beli dengan syarikat kereta terpakai.

Keadaan itu menyebabkan pemilik asal terpaksa menanggung liabiliti dan risiko seperti menerima notis saman daripada pihak penguat kuasa, notis mengarahkan penyelesaian baki hutang dari bank selain jenayah atau kemalangan.

Mengikut sistem itu, transaksi pertukaran hak milik kenderaan perlu didaftarkan dengan JPJ dan dikenakan bayaran RM10 bagi membolehkan pemindahan nama kepada pemilik sementara.

Pemilik kenderaan dan syarikat kenderaan terpakai perlu mengisi borang yang ditandatangani pihak syarikat, manakala slip diberikan kepada JPJ untuk tindakan lanjut.

Syarikat kenderaan terpakai akan menjadi pemilik sementara kenderaan itu bermula daripada tarikh borang ditandatangani sehingga kenderaan dijual kepada pelanggan baru.

Sementara itu, Cho Ha berkata, pejabat JPJ Pulau Pinang Cawangan Batu Uban menyumbangkan RM33 juta tahun lalu berbanding RM32.4 juta pada 2010.

"Peringkat nasional, JPJ mengutip RM3.17 bilion tahun lalu berbanding RM2.9 bilion pada 2010,” katanya


SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 17.02.2012

Tiada ulasan: