Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Sabtu, 7 Januari 2012

Kena ambil SPM jika mahu SBPA

Oleh Nahar Tajri
nahar@nstp.com.my
2012/01/07

15,000 anggota ATM diberi tempoh 6 tahun

SUNGAI PETANI: Kira-kira 15,000 anggota lain-lain pangkat (LLP) dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang belum memenuhi syarat kelayakan akademik minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diberi peluang menduduki peperiksaan itu dalam tempoh enam tahun bagi membolehkan mereka menikmati Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ATM lebih awal.
Buat masa ini semua anggota terbabit akan diletakkan di bawah Skim Khas Untuk Penyandang (KUP) ATM sementara mereka mengambil langkah untuk meningkatkan kelayakan akademik dalam tempoh yang diberikan.
Jika gagal, anggota terbabit hanya akan menikmati skim baru selepas enam tahun setelah SBPA ATM dilaksanakan bermula tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata langkah itu sejajar program transformasi negara dan keperluan untuk ATM mencapai tahap profesionalisme seiring keperluan pertahanan negara pada masa ini.

Katanya, syarat untuk menjadi LLP dalam ATM sebelum ini, kerajaan menerima kelayakan darjah enam, Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR) asalkan pemohon boleh membaca dan menulis.

“Namun, syarat itu kini berubah yang mana pemohon mesti ada SPM dengan kredit mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Matematik serta lulus bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka menikmati perubahan gaji yang lebih tinggi.
“Skim baru ini dibuat berdasarkan kelayakan akademik minimum SPM dan bagi anggota yang belum mencapai tahap berkenaan, kita beri masa enam tahun untuk mereka melakukannya.... jika tidak mereka perlu tunggu enam tahun untuk menikmati skim berkenaan.

“Ia bukan saja semata-mata bagi menikmati SBPA ATM, tetapi sebagai persediaan untuk mereka meningkatkan tahap akademik dan kemahiran sebelum keluar daripada perkhidmatan tentera,” katanya selepas menyertai Sesi Dialog SBPA ATM bersama pegawai dan anggota tentera di Markas Staf Stesen, Kem Lapangan Terbang, di sini, semalam.

Hadir sama, Panglima Dua Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Azizan Md Delin, Panglima Briged Keenam Infantri dan Brigedier Jeneral Datuk Md Tajri Alwi.


SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 07.01.2012

Tiada ulasan: