Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Khamis, 22 Disember 2011

Siri wang baru diedar Januari

Oleh Shahrizan Salian dan S Anand Kumar
bhnews@bharian.com.my
2011/12/22

 NAJIB  menunjukkan not  RM20 siri baru  pada pelancaran Pelan Sektor Kewangan dan Mata Wang Malaysia Siri Baru  di Sasana Kijang, Kuala Lumpur, semalam sambil diperhatikan    Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni  Hanadzlah dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
NAJIB menunjukkan not RM20 siri baru pada pelancaran Pelan Sektor Kewangan dan Mata Wang Malaysia Siri Baru di Sasana Kijang, Kuala Lumpur, semalam sambil diperhatikan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Not kertas, syiling tampil ciri-ciri unik negara, tahap keselamatan dipertingkat

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia memperkenalkan siri mata wang baru yang akan mula diedarkan pada separuh kedua tahun depan, dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan dipertingkatkan

 Siri baru diperkenalkan itu terdiri daripada wang kertas RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100 serta melengkapi wang kertas RM50 yang mula diperkenalkan sebelum ini.
Ia juga melengkapi mata wang siling baru yang diperkenalkan pada 25 Julai lalu dan akan digunakan bermula Januari ini.

Siri terbaru mata wang Malaysia mengambil inspirasi daripada pelbagai ciri-ciri unik Malaysia, dengan menggunakan elemen khazanah semula jadi, budaya dan warisan negara.

Pelancaran siri mata wang baru berkenaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini, semalam.

Bank Negara, dalam kenyataannya berkata mata wang baru itu menampilkan ciri-ciri tradisional dari segi seni dan kraf, keindahan alam sekitar, flora dan fauna serta ekonomi.

“Siri baru mata wang juga menggunakan ciri-ciri keselamatan dipertingkatkan sejajar dengan kemajuan terbaru dalam teknologi mata wang.

“Ciri-ciri keselamatan bagi mata wang baru itu termasuk imej bayangan, tetingkap lebih jelas, potret bertanda keselamatan dengan piksel dan angka yang diserlahkan, benang keselamatan berwarna, benang lensa mikro serta tampalan berkilat bagi memudahkan orang ramai mengenal pasti nilai setiap satunya.

“Satu lagi ciri-ciri dipertingkatkan ialah pengenalan secara sentuhan yang membolehkan individu kurang penglihatan dapat mengenal pasti dan membezakan nilai mata wang berbeza,” kata kenyataan itu.

Semua mata wang di bawah siri baru berkenaan masih mengekalkan potret Yang di-Pertuan Agong pertama, bunga raya, nilai muka bagi mata wang serta corak fabrik tenunan tradisional songket di bahagian hadapannya.

Di bahagian belakang pula, ia menampilkan elemen berlainan mengikut nilai termasuk alam sekitar, budaya, tradisi, flora dan fauna yang mencerminkan identiti Malaysia.

Mata wang baru itu juga masih mengekalkan logo Bank Negara, siri nombor, perkataan bertulis jawi dan corak tenunan songket di bahagian belakangnya.

Dengan pelancaran siri baru berkenaan, Bank Negara akan bekerjasama rapat dengan institusi kewangan, perniagaan dan vendor mesin kendalian tunai bagi memastikan perubahan kepada mata wang baru dapat dilaksanakan dengan lancar.

Vendor mesin kendalian tunai diberikan masa enam bulan untuk mengubah suai mesin masing-masing bagi memastikan mata wang baru itu dapat digunakan.

Sementara itu, mata wang peringatan bagi siri baru berkenaan boleh didapati di ibu pejabat Bank Negara dan cawangannya masing-masing di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu bermula hari ini


SUMBER PENUH DARIPADA BERITA HARIAN 22.12.2011

Tiada ulasan: