2011/12/17
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menggantikan lesen kenderaan dengan lesen pengendali kepada operator perkhidmatan kenderaan awam dan barangan secara automatik berkuat kuasa 31 Januari depan.Berbeza dengan lesen kenderaan sebelum ini yang memerlukan operator memohon banyak lesen bagi setiap kenderaan yang beroperasi, sistem terbaru hanya memerlukan satu lesen pengendali untuk setiap operator
Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata ia akan membabitkan 90,000 operator yang mengusahakan kira-kira 350,000 kenderaan awam dan barangan selaras dengan peruntukan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
“Begitu juga dengan lori dan treler atau kenderaan motor yang digunakan sebagai pengangkutan barangan,” katanya pada sidang selepas mengadakan pertemuan dengan operator perkhidmatan kenderaan awam dan kenderaan barangan bagi Wilayah Persekutuan dan Selangor, di sini semalam.
Syed Hamid berkata, operator yang tidak memiliki lesen terbabit selepas tarikh ia dikuatkuasakan dianggap beroperasi secara haram.
“SPAD sudah ada senarai pengusaha dan kita daftarkan mereka secara automatik. Mereka yang tiada dalam senarai kita, dianggap sudah tidak aktif dan tidak menjalankan operasi,” katanya.
Ditanya reaksi operator mengenai langkah itu, katanya, mereka menyambut baik kerana ia akan memudahkan urusan semua pihak selain menjimatkan masa.
“Lesen pengendali ini akan memudahkan operator kerana mereka tidak perlu memohon lesen bagi setiap kenderaan dimiliki. Pengusaha bas yang ada banyak bas hanya perlu memohon satu lesen mewakili semua kenderaan yang ada,” katanya
SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 17.12.2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan