Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my
2011/12/17
MEF cadang tempoh transisi penetapan RM900 elak majikan 'tutup kedai'KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) memohon kerajaan memberi tempoh transisi selama tiga tahun sebelum melaksanakan sepenuhnya penetapan RM900 sebagai gaji minimum nasional bagi membolehkan majikan menyesuaikan diri dengan dasar baru yang akan diputuskan nanti
Ini bermakna jika kerajaan bersetuju melaksanakan tempoh transisi bermula tahun depan, maka semua pekerja akan menerima gaji pokok RM900, selewat-lewatnya pada 2014.
Tempoh transisi tiga tahun munasabah untuk dilaksanakan, jika kerajaan memutuskan RM900 sebagai gaji minimum. - Shamsuddin Bardan, Pengarah Eksekutif MEF
Dengan kata lain, pekerja akan menerima gaji pokok RM700 bermula 2012 sebelum menerima kenaikan RM100 setiap tahun sehinggalah jumlah gaji pokok mencecah RM900 seperti dijangka disyorkan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) kepada kerajaan.Difahamkan, dasar gaji minimum itu bagaimanapun tidak tertakluk kepada sektor pembantu rumah, pekerja yang mengikuti skim latihan dan syarikat mikro yang akan menetapkan gaji pekerja mengikut pasaran.
Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan, berkata tempoh transisi itu penting bagi memastikan tiada majikan yang terbeban dengan pelaksanaan gaji minimum yang akan disyorkan MPGN kepada kerajaan sebelum akhir bulan ini.
Katanya, tempoh pelaksanaan itu juga memberikan ruang kepada kerajaan meneliti implikasi pelaksanaan gaji minimum itu dan melakukan proses penambahbaikan.
“MEF berharap kerajaan akan terima cadangan tempoh transisi ini bagi mengelak banyak syarikat ‘tutup kedai’ kerana tidak mampu memenuhi dasar baru itu. Tempoh transisi tiga tahun munasabah untuk dilaksanakan, jika kerajaan memutuskan RM900 sebagai gaji pokok (gaji minimum),” katanya kepada Berita Harian semalam.
Beliau mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam mengenai penetapan RM900 sebagai gaji minimum yang akan disyorkan MPGN. Majlis itu juga dijangka memuktamadkan butiran teknikal mengenai penetapan gaji minimum itu dalam mesyuarat Isnin depan sebelum cadangan itu dibawa kepada kerajaan, akhir bulan ini.
Penetapan gaji minimum itu dijangka dilaksanakan awal tahun depan ekoran desakan persatuan pekerja terutama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang meminta kerajaan menetapkan antara RM900 dan RM1,200 sebagai gaji pokok, selaras dengan hasrat Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam sebelum ini berkata, kerajaan akan mengumumkan kadar gaji minimum menjelang akhir tahun ini berdasarkan syor MPGN yang dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.
Sebelum ini, kaedah penetapan gaji dilaksanakan berdasarkan kuasa pasaran, Perjanjian Bersama (CA) dan Majlis Penetapan Gaji (MPG) di bawah Akta Majlis Penetapan Gaji 1947. Bagaimanapun, daripada tiga mekanisme itu, hanya gaji diputuskan MPG ditetapkan sebagai gaji minimum, tetapi terhad kepada subsektor tertentu bagi kumpulan pekerja mudah terjejas, termasuk pembantu kedai, pekerja pelabuhan, hotel dan pengawal keselamatan.
Tahun lalu, bekas Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud, berkata kira-kira 2.2 juta pekerja tempatan menerima gaji pokok di bawah RM1,000 sebulan dengan lebih 1.8 juta daripadanya di bawah paras kemiskinan dan kemiskinan tegar
SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 17.12.2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan