Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Jumaat, 16 Disember 2011

Pendapatan pelaburan KWSP RM6.8 bilion

Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
2011/12/16

Pencapaian suku ketiga melebihi jangkaan: Azlan

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meraih pendapatan pelaburan RM6.8 bilion pada suku ketiga berakhir 30 September lalu, meningkat 18.32 peratus berbanding RM5.75 bilion yang dicatat pada suku sama 2010, didorong pulangan pelaburan ekuiti yang memberangsangkan

Diperkukuhkan dengan aliran caruman bersih ahli, Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Azlan Zainol, berkata aset pelaburan KWSP terus meningkat kepada RM452.05 bilion berbanding RM440.52 bilion yang dicatatkan akhir 2010.
Portfolio KWSP kekal teguh dan kualiti aset KWSP yang berdaya tahan membantu mengurangkan kesan daripada keadaan ketidaktentuan jangka pendek. - Azlan Zainol, Ketua Eksekutif KWSP
“Pencapaian prestasi pada suku ketiga ini melebihi sedikit jangkaan kita. Suku ketiga menyaksikan pasaran domestik dan global berada di bawah tekanan jualan penurunan gred taraf kredit Amerika Syarikat daripada AAA kepada AA+ oleh Standard & Poor’s serta kesan krisis hutang zon Eropah.

“Bagaimanapun, portfolio KWSP kekal teguh dan kualiti aset KWSP yang berdaya tahan membantu mengurangkan kesan daripada keadaan ketidaktentuan jangka pendek,” katanya dalam kenyataan mengumumkan prestasi pelaburan yang belum diaudit itu, semalam.

Beliau berkata, prestasi pelaburan yang baik itu disumbangkan oleh usaha pengurus dana ekuiti KWSP yang melaksanakan strategi pengambilan untung dengan mengunci keuntungan, terutama sebelum kelembapan pasaran serta disokong oleh dividen baik yang diterima dari syarikat tersenarai.

Katanya, ia turut didorong oleh pematuhan KWSP terhadap rangka kerja berhemah yang berkesan untuk meningkatkan dan melindungi simpanan ahli.
Pada suku dikaji, ekuiti kekal menghasilkan prestasi terbaik dengan memberi pulangan pelaburan sebanyak RM3.26 bilion, meningkat 36.47 peratus daripada RM2.39 bilion dicatatkan suku sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata, pinjaman dan bon menjadi penyumbang kedua terbesar dengan menjana pendapatan sebanyak RM1.93 bilion, meningkat 11.29 peratus daripada RM1.73 bilion dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan daripada sekuriti Kerajaan Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 5.67 peratus kepada RM1.47 bilion berbanding RM1.40 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.

Pulangan daripada hartanah meningkat 23.36 peratus kepada RM28.20 juta daripada RM22.86 juta sebelumnya.

Instrumen pasaran wang pula mencatat pendapatan RM109.97 juta, menurun RM98.71 juta berbanding suku sama sebelumnya.

Azlan berkata, punca utama penurunan itu disebabkan perubahan peruntukan pelaburan kepada aset yang memberikan pulangan lebih tinggi dan berjangka panjang untuk mengoptimumkan pulangan seperti pelaburan dalam hartanah global, ekuiti global dan sukuk global.

“Sebagai dana persaraan, pelaburan KWSP adalah untuk jangka panjang. Dalam menghadapi sebarang krisis atau kelembapan ekonomi terdapat peluang dan prospek yang boleh diteroka berdasarkan kitaran semula jadi ekonomi.

“Bagaimanapun, berasaskan ketidaktentuan dalam persekitaran pelaburan global, KWSP seperti biasa akan terus berhati-hati dalam pelaburannya melalui pendekatan pelaburan berisiko rendah,” katanya

SUMBER DARIPADA BERITA HJARIAN 16.12.2011

Tiada ulasan: