Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Isnin, 17 Oktober 2011

Pekedai runcit dilantik ejen BSN

2011/10/17

Bank permudah transaksi untuk pengguna di kawasan luar bandar

BANK Simpanan Nasional (BSN) akan melantik ejennya di kalangan pekedai runcit untuk melakukan urus niaga perbankan dalam usaha memberi khidmat di kawasan luar bandar.
Naib Presiden Kanannya, Azaddin Ngah Tasir, berkata model itu yang dilaksanakan tahun depan selaras ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Bajet 2012 untuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan meluaskan perkhidmatan di luar bandar.
BSN melantik ejen di kedai runcit yang boleh melakukan transaksi seperti pengeluaran dan simpanan wang, bayaran bil dan pembelian sijil simpanan premium.




Pelanggan BSN juga boleh menggunakan kad ATM untuk membeli barang di kedai runcit dengan debit daripada akaun masing-masing.

“Ini komitmen kami kepada masyarakat untuk menyediakan akses perbankan tanpa mengira di mana mereka berada,” katanya selepas perasmian BSN cawangan Beluran yang disempurnakan Anggota Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee di Beluran, kelmarin.

Azaddin yang juga Ketua Perbankan Cawangan BSN berkata, ejen akan diberi latihan dan di Sabah, pihaknya mengenal pasti 130 ejen.
Beliau berkata, model itu selari peranan BSN yang perlu beroperasi sebagai bank simpanan dan pada masa sama memenuhi mandat sosial yang diberikan kerajaan.

Katanya, fokus BSN untuk memberi kemudahan perbankan asas kepada segenap lapisan komuniti di negara ini.

“Dengan itu, BSN menawarkan perkhidmatannya di seluruh pelosok negeri di negara ini termasuk di kawasan-kawasan pedalaman,” kata Azaddin. - BERNAMA

SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 17.10.2011

Tiada ulasan: