Oleh Poliana Ronnie Sidom
2011/09/28
KOTA KINABALU: Taufan Nesat yang melanda Filipina sejak kelmarin turut meninggalkan kesan di Sabah apabila beberapa kawasan di ibu negeri ini mengalami hujan lebat dan ribut, sejak awal pagi semalam. Akibatnya, kira-kira 15,000 penduduk terjejas berikutan bekalan elektrik terputus, manakala pokok tumbang di sepanjang jalan utama, menyebabkan kesesakan di beberapa jalan raya utama.
Pegawai Perhubungan Awam Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Syron Tunggolou, berkata kerja membersihkan jalan raya termasuk di kawasan taman perumahan giat dilaksanakan dan setakat jam 3 petang semalam, 35 aduan pokok tumbang dan kerosakan rumah diterima.
Lebih 50 pokok tumbang dipukul ribut dan kerja mengalih serta membersih jalan raya dijalankan DBKK, kontraktor yang melakukan penyelenggaraan jalan raya serta dibantu beberapa agensi lain.
Kita sentiasa bersiap sedia dan mengarahkan penguat kuasa bertindak sebaik menerima laporan penduduk berhubung kerosakan," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Pengurus Besar (Pembahagian) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ahmad Fuad Md Kasim, berkata pihaknya menghantar pasukan ke setiap lokasi terjejas bagi menangani masalah terputus bekalan elektrik.
Walaupun bekalan elektrik dipulihkan secara berperingkat mulai jam 5 pagi tadi (semalam), kita tetap meminta pasukan bersiap sedia berdepan apa juga kemungkinan, katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Meteorologi Sabah, berkata ribut dan angin kencang itu adalah susulan pergerakan Taufan Nesat dengan kelajuan 20 kilometer sejam (kmsj) menuju Hainan, China.
Angin kencang di pantai barat Palawan dan perairan Labuan dijangka berlanjutan sehingga 1 Oktober sebelum reda secara perlahan-lahan, katanya
SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 28.09.2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan