Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Selasa, 20 September 2011

Pusat alga terbesar di Rompin

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2011/09/20

SYED ISA (dua dari kanan) berkata sesuatu kepada    Khoo selepas meterai memorandum kerjasama  sambil diperhatikan  Pengarah  Pahang Biodiesel, Hashim Zainudin (kiri) dan  Ketua Pengarah Eksekutif  Algaetech, Nurul Azhar M Harris (kanan) di Kuala Lumpur, semalam.
SYED ISA (dua dari kanan) berkata sesuatu kepada Khoo selepas meterai memorandum kerjasama sambil diperhatikan Pengarah Pahang Biodiesel, Hashim Zainudin (kiri) dan Ketua Pengarah Eksekutif Algaetech, Nurul Azhar M Harris (kanan) di Kuala Lumpur, semalam.
Projek bernilai RM1.2 bilion dibangunkan untuk hasilkan biodiesel

PAHANG Biodiesel Corporation Sdn Bhd, bakal memajukan pusat pengeluaran alga terbesar dunia di Rompin, Pahang membabitkan pelaburan RM1.2 bilion.
Kemudahan di tapak seluas kira-kira 2,023 hektar dan dikenali Pusat Integrasi Alga Malaysia (MIAV) itu akan meletakkan Malaysia sebagai antara pengeluar bahan api bio berasaskan alga utama di dunia apabila ia beroperasi pada awal 2013.
Ketua Bahagian Perancangan Korporat Pahang Biodiesel, Hashim Zainuddin, berkata MIAV akan dibangunkan bagi pengeluaran alga secara besar-besaran untuk penghasilan biodiesel serta produk berkaitan alga lain seperti produk makanan kesihatan dan produk bernilai tinggi.

Katanya, kelulusan kerajaan negeri bagi projek itu sudah diperoleh dan pihaknya sedang menyediakan pelan induknya sebelum memulakan pembangunan kawasan terbabit yang dijangka dimulakan selewat-lewatnya suku pertama tahun depan.

“Pembangunannya bagi meraih sebahagian pasaran produk berasaskan bio global yang tahun lalu saja dianggarkan bernilai AS$125 bilion. Nilainya dijangka terus meningkat berdasarkan potensi alga sebagai bahan api bio.

“Bagi menjayakannya, kami bekerjasama dengan Algaetech International Sdn Bhd untuk mendapatkan kepakaran berkaitan penyelidikan alga dan teknologi penghasilannya,” katanya pada sidang media selepas memeterai memorandum kerjasama dengan Algaetech di Kuala Lumpur, semalam.
Pada majlis itu, Pahang Biodiesel diwakili Pengarahnya, Tommy Khoo, manakala Algaetech International, Ketua Eksekutif Kumpulannya, Syed Isa Syed Alwi.

Turut berlangsung, majlis memeterai memorandum kerjasama antara Algaetech dengan BM Nagano Industries Sdn Bhd bagi menyediakan teknologi pencahayaan menggunakan LED dalam penghasilan alga.

Sementara itu, Syed Isa berkata, MIAV mampu menjana pendapatan sekitar RM100 juta setahun dalam tahun pertama operasinya.

Katanya, mengikut perancangan, 85 peratus daripada alga dihasilkan akan digunakan untuk pengeluaran bahan api bio, manakala 15 peratus lagi produk bernilai tinggi dan makanan berasaskan kesihatan.

“Namun, jika dilihat dari segi pendapatan yang bakal dijana kedua-dua produk ini, kami jangkakan produk bernilai tinggi dan makanan berasaskan kesihatan mampu memberikan margin lebih besar.

“Manfaat pembangunan MIAV ini bukan hanya kepada syarikat tetapi juga negara dan kawasan setempat kerana ia akan menjana peluang pekerjaan dan potensi perniagaan yang berupaya mengubah sosioekonomi Rompin,” katanya.

Pahang Biodiesel Corporation adalah usaha sama Transturbo Industries Sdn Bhd dengan pegangan ekuiti sebanyak 70 peratus, Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Negeri Pahang (20 peratus) dan Almal Sdn Bhd (10 peratus)


SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 20.09.2011

Tiada ulasan: