Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Jumaat, 2 September 2011

41,267 pelajar kumpulan pertama ke IPTA

PUTRAJAYA 1 Sept. – Bermula Sabtu ini, seramai 41,267 pelajar menjadi kumpulan pertama memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mengikut kalendar akademik baru bagi sesi pengajian 2011/2012 setelah 14 tahun sesi pengajian sistem semester Julai diguna pakai.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penyelarasan kalendar akademik itu merupakan strategi untuk merangsang kecemerlangan pengajian tinggi di samping meningkatkan lagi proses pengembangan ilmu di kalangan pelajar dan pensyarah melalui program pengantarabangsaan.
Katanya, ia sekali gus mempertingkatkan lagi daya saing dan perkongsian ilmu dalam memperkasakan pembangunan dan penyelidikan (R&D) dan inovasi bagi kecemerlangan IPTA.
“Dalam proses globalisasi dan liberalisasi pengajian tinggi pula, proses mobiliti pelajar di peringkat domestik dan antarabangsa dapat dipertingkatkan sejajar dengan amalan terbaik kalendar akademik IPT di dunia.
“Penyelarasan kalendar akademik ini memudahkan program mobiliti di kalangan pelajar dan pensyarah serta program pertukaran kredit dengan pelajar universiti antarabangsa yang mana hanya boleh dilaksanakan jika waktu pembelajaran dan cuti yang sama berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya, di sini baru-baru ini.
Menurut Mohamed Khaled, penyelarasan kalendar akademik itu turut menyelesaikan masalah sampingan lain termasuk memberi lebih banyak masa persediaan kepada pelajar sebelum memasuki universiti selain mengelak berlaku kekosongan tempat sekiranya pelajar menerima tawaran universiti lain di negara luar.
“Jika sebelum ini kemasukan pada Julai, pelajar hanya ada beberapa minggu untuk membuat pilihan kemasukan ke universiti kerana tempoh di antara pengumuman keputusan peperiksaan dengan kemasukan pada Julai adalah sangat singkat.
“Di samping itu, oleh kerana sistem kalendar akademik berbeza dengan universiti luar negara iaitu kemasukan lebih awal dua bulan, maka, kita berhadapan dengan keadaan di mana kekosongan tempat berlaku apabila pelajar menerima tawaran universiti luar dan meninggalkan universiti kita,” katanya.
Mengulas lanjut Mohamed Khaled berkata, cadangan asal pelaksanaan kalendar akademik baharu mahu dibuat secara berperingkat iaitu dimulakan pada Ogos tahun ini.
Namun, katanya, memandangkan Ogos jatuh pada Ramadan, maka, ia tidak boleh dilaksanakan bagi mengelak pelajar kepenatan kerana mereka perlu mengikuti program orientasi sebagai persediaan awal menyesuaikan diri dengan kehidupan universiti.
“Kita tidak mahu program orientasi ini tidak dapat berjalan lancar memandangkan ia merupakan satu program penting untuk mereka menyesuaikan diri kerana kehidupan di universiti jauh berbeza dengan zaman persekolahan yang menuntut penyertaan aktif pelajar tanpa bantuan sesiapa,” katanya.
Bagi sesi pengajian 2011/2012, jumlah tawaran tempat ke IPTA meningkat sebanyak 1.9 peratus iaitu sebanyak 41,267 berbanding 40,506 pada tahun lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 29,838 daripada 39,998 daripada pemohon bumiputera atau 74.6% peratus berjaya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Pertama, manakala 9,457 (daripada 10,677) atau 88.6% adalah pelajar keturunan Cina dan 1,972 (daripada 2,541) atau 77.6% pelajar India dan lain-lain

Tiada ulasan: