Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Rabu, 3 Ogos 2011

Projek hubung Johor, Jakarta

Symphonet, 3i kerjasama bina kabel 1,200km tampung penggunaan Internet 

SYARIKAT ICT tempatan, Symphonet Sdn Bhd dan syarikat telekomunikasi Indonesia, PT Interkoneksi Internet Indonesia (3i) akan membina kabel telekomunikasi gentian optik dasar laut menghubungkan kedua-dua negara sepanjang 1,200 kilometer (km).

Kedua-dua syarikat berkenaan membentuk konsortium untuk melaksanakan projek berkenaan yang dinamakan Johor-Jakarta Cable System (JJCS)


Ketua Eksekutif Symphonet, Datuk Baharum Salleh, berkata kabel telekomunikasi itu akan dibina sebagai penghubung antara Johor dan Jakarta bersama beberapa sambungan lain ke Singapura, Batam, Jambi, Pulau Bangka dan India. 

Katanya, apabila siap menjelang suku keempat tahun depan, kabel itu berupaya membawa lebih 20 terabit (Tbps) sesaat bagi menampung peningkatan penggunaan Internet, pemindahan data, video dan trafik suara di antara kedua-dua negara dan sambungan lain di laluannya. 

“Pembangunan kabel terus ke Johor itu akan meningkatkan keupayaan Iskandar Malaysia sebagai ‘Hab Selatan,’ pada masa sama menyediakan kemudahan alternatif kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi di Indonesia menyalur keluar trafik mereka tanpa menggunakan laluan sedia ada. 

“Kami bakal memperoleh manfaat daripada potensi pertumbuhan data yang besar, trafik suara dan pasaran jalur lebar di Indonesia serta daripada negara jiran yang berada di laluan kabel ini,” katanya dalam kenyataan mengumumkan usaha sama dan penubuhan konsortium itu di Kuala Lumpur, semalam. 
Menerusi usaha sama itu, konsortium berkenaan akan membangunkan, membina, memiliki, mengendali dan menyenggara sistem kabel dasar laut JJCS bersama-sama sambungan lain di laluannya serta sambungan di peringkat antarabangsa menerusi Point of Presence (POP) seperti di Los Angeles, London, Hong Kong dan Asia Barat. 

Sementara itu, Pengarah Urusan 3i, Ernest Rares berkata, laluan kabel itu akan dirancang sebaik mungkin bagi mengelakkan kawasan aktiviti seismik aktif sebagai usaha mengurangkan risiko kerosakan kabel dasar laut akibat bencana alam khususnya gempa bumi. 

Katanya, dengan menggunakan teknologi gentian optik yang termoden, kabel ini mampu menampung kapasiti data maksimum sehingga 30 Tbps bagi menyalurkan keperluan trafik data dan video untuk beberapa tahun akan datang. 

“Ia dibangunkan khusus bagi menyediakan infrastruktur data telekomunikasi berkelajuan tinggi di rantau ini sebagai persediaan kepada peningkatan permintaan dalam jalur lebar berkelajuan tinggi, IPVPN, VOIP, Skype, Google dan keperluan data bagi peranti mudah alih,” katanya. 

Tiada ulasan: