Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Rabu, 10 Ogos 2011

PLUMS perluas program akademik

KOTA KINABALU 9 Ogos _ Pusat Latihan Universiti Malaysia Sabah (PLUMS) akan memperluaskan program akademik bagi golongan bekerjaya yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Sarjana Muda sepenuh masa di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Eksekutif Kanan Pemasaran dan Promosi UMS Link Sdn. Bhd. (ULink), Nerwani Shereen Halik berkata, untuk itu pihaknya kini mengadakan pameran akademik di pusat membeli-belah raya dan dewan masyarakat bagi tujuan hebahan.
‘‘Pameran tersebut bertujuan memberi peluang kepada orang ramai menemui penyelaras program di pusat pameran untuk mendapatkan khidmat rundingan secara terus mengenai program yang ditawarkan.
‘‘Selain itu, kami juga akan sentiasa memastikan paparan di laman web dikemaskini bagi memudahkan orang ramai mengakses maklumat berkaitan program akademik secara sepenuh dan separuh masa yang ditawarkan oleh PLUMS,” katanya ketika ditemui pada majlis Jom Masuk UMS di pusat membeli belah Suria Sabah di sini baru-baru ini.
Nerwarni berkata, hebahan berkaitan perlu dikemaskini agar penduduk yang tinggal di daerah-daerah lain mendapat maklumat tepat tentang program akademik dan lokasi pameran yang diadakan oleh PLUMS.
Sempena pameran itu, lebih 10 gerai pendidikan dibuka bagi mempamerkan program-program pengajian lanjutan yang ditawarkan di UMS.
Sementara itu, beberapa pengunjung yang ditemui mengalu-alukan program pameran akademik yang dianjurkan oleh PLUMS khususnya bagi golongan bekerjaya untuk meningkatkan lagi kebolehan dan kemahiran diri.
Seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bingkor, Keningau, Chung Tet Kun, 27, berkata, dia memandu dari Keningau ke Kota Kinabalu semata-mata untuk mendapatkan maklumat pengajian lanjutan di UMS.
‘‘Saya ingin melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Muda Pendidikan dalam bidang Sains Komputer, namun penting bagi saya mengumpul maklumat terlebih dahulu agar dapat menimbangkan keperluan masa dan biaya pengajian,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan bidang Sains dan Matematik dari Universiti Malaya itu.
Mengenai pameran itu, katanya, ia memberi bermanfaat kepada bakal pelajar peringkat lanjutan kerana di samping rundingan bersemuka, banyak risalah disediakan kepada mereka.
Seorang ibu berketurunan Cina, Norhani Abdullah, 57, dari Tawau, dia datang dari jauh semata-mata untuk meninjau peluang pengajian lanjutan bagi anaknya.
‘‘Pakar akademik yang saya temui di gerai pameran amat membantu saya memilih bidang pengajian. Saya berharap maklumat yang diperolehi dapat membantu anak saya melanjutkan pengajian peringkat lanjutan secepat mungkin,” katanya

Tiada ulasan: