Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Khamis, 14 Julai 2011

Tidak boleh tahan air kencing


2010/09/25

Soalan: 
SAYA berusia 28 tahun dan akan berkahwin Disember ini. Sejak akhir-akhir ini saya selalu terjaga malam untuk membuang air kecil biarpun tidak mengambil minuman yang banyak.
Saya juga tidak boleh menahan air kencing lama. Jika saya menahan air kencing, perut saya mula sakit. Apakah ini petanda masalah prostat?
Risau 
Jawapan: 
SAUDARA tidak mengalami masalah prostat. Ini adalah kerana kebanyakan masalah prostat akan mula menunjukkan tanda-tandanya apabila seseorang berumur 50 tahun ke atas. 

Masalah bangun kencing malam yang saudara alami ini dikenali sebagai nokturia. Ada pelbagai sebab berlakunya masalah ini. Ia boleh berpunca penyakit kencing manis ataupun penyakit diabetes insipidus. Selalunya, pesakit yang mempunyai masalah ini akan kencing dalam jumlah banyak pada malam walaupun pengambilan air yang kurang. 
Masalah jangkitan kuman pada pundi kencing juga boleh menimbulkan tanda sama iaitu kerap kencing tidak kira siang atau malam. Pesakit lazimnya tidak dapat menahan kencing lalu menyebabkan sakit di perut jika kencing ditahan. 

Selain itu, tanda-tanda lain adalah rasa pedih atau panas ketika kencing, demam dan pengeluaran cecair dari lubang kencing. Untuk makluman saudara , jangkitan kuman pada pundi kencing jarang berlaku pada kaum lelaki. 

Saudara perlu berjumpa doktor untuk mengetahui punca sebenar masalah yang dihadapi. Pemeriksaan darah dan air kencing akan dilakukan untuk menentukan sama ada saudara mengalami masalah yang dinyatakan. 

Jika saudara tidak mempunyai jangkitan kuman atau kencing manis, ada satu lagi masalah dikenali sebagai overactive bladder. Masalah ini boleh terjadi pada lelaki dan perempuan tetapi lebih kerap pada wanita muda. Seseorang yang menghadapi masalah ini akan membuang air lebih dari 10 kali sehari serta tidak dapat menahan kencing. 

Selain itu, ada penghidap mengalami kebocoran air kencing tanpa kawalan sekiranya kencing ditahan. Ini berpunca dari masalah pundi kencing yang tidak dapat menakung air kencing pada jumlah normal. 

Ada pelbagai cara merawat overactive bladder termasuk senaman otot kawalan kencing, behaviour therapy, latihan pundi kencing dan farmakologi menggunakan ubat anti muskarinik seperti tolteradine.

Tiada ulasan: