Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Isnin, 27 Jun 2011

Penganjur perhimpunan haram khuatir kebangkitan BN

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2011/06/27


KUALA LUMPUR: Penganjur dan pihak yang menggerakkan perhimpunan haram pada 9 Julai ini diberi amaran keras bahawa mereka akan dipertanggungjawabkan jika negara menjadi huru-hara dan keselamatan rakyat terancam akibat perhimpunan itu.

Ini berikutan niat sebenar kumpulan pengacau itu bukan untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong atau berlaku kepincangan dalam sistem pilihan raya negara, sebaliknya untuk mencetuskan kejutan bagi memperoleh semula momentum politik kerana pembangkang semakin bimbang dengan peningkatan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata aliran sokongan dan keyakinan rakyat berjaya dikembalikan semula kepada BN selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada 2008, hasil usaha gigih transformasi yang terbukti hasil kemenangan dalam sebahagian besar pilihan raya kecil dan Pilihan Raya Negeri Sarawak.

“Malah analisa oleh pihak ketiga tiada kepentingan mendapati kerajaan berada dalam landasan betul dengan matlamat serta visi jelas,” katanya sambil disambut sorakan bersemangat hadirin ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-58 Parti Progresif Penduduk (PPP) di sini, semalam.

Justeru, beliau yang juga Pengerusi BN mencabar pembangkang menunjukkan keberanian sebenar dengan bertanding dalam pilihan raya kerana kuasa politik adalah di tangan rakyat dan bukan di jalanan melalui demonstrasi haram.

“Jika sistem pilihan raya tidak betul, kenapa kita hendak serah lima negeri kepada pembangkang pada PRU lalu dan 20 tahun lebih PAS memerintah Kelantan? Jika kita boleh memanipulasi pilihan raya, lebih baik semua negeri dikuasai oleh BN. (Namun) Kita bukan orang yang memanipulasi pilihan raya, kita tidak rela berkuasa melainkan kita didukung oleh rakyat. Kita hanya rela berkuasa kalau rakyat bersama kita.
“Tapi janganlah menimbulkan huru-hara dalam negara semata-mata hendak kuasa politik. Kuasa politik di tangan rakyat, bukan di jalanan dan demonstrasi (haram). Waktu pilihan raya bertandinglah jika anak jantan sebenar. Jika anda (pembangkang) benar-benar ada keberanian, lawan pilihan raya. Jika anda tiada keberanian, buatlah jalanan dan anda berdepan dengan akibatnya.

“Ini ada undang-undang, kita hendak menjaga kepentingan rakyat, bukan kepentingan orang yang sangat-sangat hendak kuasa politik... tidak sabar-sabar lagi... (sinis) semua orang tidak betul, doktor tidak betul, profesor tidak betul... dia saja yang betul,” katanya.

Sambil mengingatkan ahli parti supaya jangan takut dan apologetik berdepan angkara sedemikian, Najib berkata, BN akan lawan habis-habisan tetapi mengikut undang-undang negara.

“Kita bukan samseng, kita lawan secara berhemah dan berbudi dengan memperjuangkan kepentingan rakyat melalui usaha, program, dasar serta peranan sebagai pemimpin. Setiap kita adalah pemimpin dan peranan yang dimain akan memastikan kejayaan besar kepada BN dalam PRU Ke-13 dengan izin Tuhan, insya-Allah,” katanya.

Tiada ulasan: