Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Khamis, 10 Mei 2012

Peluang pelajar miskin berjaya

Oleh Norrasyidah Arshad

2012/05/10

SHAH ALAM: Lebih 7,000 pelajar di bawah program perintis Mengubah Destinasi Anak Bangsa (MDAB) Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dilaksanakan pada 2010, akan menamatkan pengajian pada peringkat diploma tahun depan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Datuk Dr Abdullah Mohamad Said, berkata pelajar terbabit dipilih daripada keluarga miskin di seluruh negara untuk mengikuti pengajian dengan dibiayai sepenuhnya oleh dana MDAB yang dikendalikan UiTM.

Katanya, mereka akan menamatkan pengajian pada peringkat diploma dalam beberapa bidang antaranya Pengajian Perniagaan, Pengajian Perbankan dan Pengajian Pengurusan Pejabat.
“Pelajar terbabit membuktikan mereka mampu menguasai bidang pengajian yang diambil serta menggunakan peluang menyambung pengajian yang ditawarkan melalui program MDAB dengan sebaiknya,” kata beliau kepada pemberita setelah melepaskan peserta Jelajah Destini Anak Bangsa 1Malaysia (JDAB1M) fasa kedua di sini, semalam.

MDAB adalah satu daripada program di bawah tanggungjawab sosial (CSR) UiTM bertujuan membantu mereka yang kurang berkemampuan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di UiTM.

Mengenai siri jelajah itu yang bermula semalam ke 88 lokasi di seluruh negara sehingga 26 Mei ini, ia dijayakan 70 sukarelawan termasuk pelajar UiTM, alumni dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Gerakan Destini Anak Bangsa (GDAB).

Katanya, mereka akan membuka kaunter di tempat tumpuan ramai termasuk perhentian bas dan pasar bagi menyebar maklumat mengenai MDAB.
“Selain mengenal pasti golongan sasaran, program ini memfokuskan kepada elemen memberi kesedaran mengenai kepentingan mendapatkan pendidikan lebih tinggi untuk memperbaiki taraf kehidupan.

“Kami menyasarkan kemasukan 5,000 pelajar bagi setiap semester. Mereka yang berminat boleh datang di kaunter dengan membawa salinan kad pengenalan dan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi 2009 dan ke atas.

“Mereka mesti terdiri daripada golongan keluarga yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan,” katanya sambil menambah program itu yang dinaungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertujuan menterjemahkan aspirasi beliau dalam membantu rakyat yang kurang berkemampuan.

Hadir sama, Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Mohammad Khairi A Malik, wakil penaja program JDAB1M iaitu dari Affin Bank, syarikat tekstil Jakel Silk House dan KUB Berhad.

JDAB1M singgah di Negeri Sembilan semalam, diikuti Johor hari ini, Kuala Lumpur (11 Mei), Selangor (12 dan 13 Mei), Perak (13 hingga 16 Mei), Pulau Pinang (17 Mei), Perlis (18 Mei), Kedah (18 dan 19 Mei), Kelantan (21 Mei), Terengganu (22 Mei), Pahang (23 Mei), Melaka (24 Mei) dan terakhir di Sabah pada 26 Mei


SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 10.05.2012


BIJAK UNTUK BERJAYA

Tiada ulasan: