Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Selasa, 3 April 2012

Sistem Tukar Hak Milik Sementara dilancar

2012/04/03

Transaksi jualan kereta terpakai lebih selamat, bebas sebarang isu

KUALA LUMPUR: Sistem Tukar Hak Milik Sementara untuk membolehkan pemilik kereta menukar hak milik sementara kepada pengedar kereta terpakai bagi memudahkan penjualan kereta terpakai, dilancarkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, semalam. “Penukaran hak milik kereta sementara hanya sah bagi tempoh maksimum enam bulan. Jika dalam tempoh itu, kenderaan itu tidak dijual, dengan itu syarikat kereta terpakai akan diberikan hak milik kekal kenderaan itu dan tempoh sementara itu secara automatik terbatal,” katanya selepas majlis pelancaran sistem itu di sini

Beliau berkata, sistem itu menyediakan transaksi lebih selamat antara pemilik kereta dan pengedar kereta terpakai, dengan pemilik kereta terdahulu bebas daripada sebarang isu berkaitan kereta itu ketika fasa transaksi sebelum kereta itu dijual kepada pemilik baru.

“Dengan penukaran hak milik sementara, pengedar kereta terpakai akan bertanggungjawab atas segala kemalangan, saman, aduan dan sebagainya.

“Kita harap pengguna iaitu penjual faham bahawa mereka akan mendapat satu slip yang membuktikan yang kereta itu telahpun dijual (dan ditukar hak milik sementara) lengkap dengan butirannya.

Cho Ha berkata, tempoh penukaran hak milik sementara itu bukan untuk membeli kereta terpakai.
Katanya, sistem itu masih belum diwajibkan kepada semua pengedar kereta terpakai, sebaliknya ia akan bertindak sebagai alternatif kepada pemilik kereta dan pengedar kereta dalam mengendalikan transaksi dengan lebih selamat.

Beliau berkata, sistem online sudah dilaksanakan sejak Januari dan dibangunkan oleh eAuto.com dan MyEG Services Bhd, dijangka kira-kira 3,000 pengedar kereta di seluruh negara berdaftar dengannya menjelang akhir tahun ini.

“Setakat ini, kira-kira 100 pengedar kereta berdaftar dan kita harap lebih ramai lagi akan berbuat demikian,” katanya.

Katanya, di bawah sistem itu, transaksi tukar hak milik kenderaan akan dikenakan caj kerajaan sebanyak RM10, dan RM15 oleh penyedia perkhidmatan dan kos itu akan ditanggung oleh syarikat kereta terpakai dan bukannya pemilik atau penjual kereta. – BERNAMA

SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 3.03.2012

Tiada ulasan: