Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Selasa, 20 Mac 2012

Syarat layak khidmat guaman percuma

2012/03/20

DEWAN Rakyat semalam diberitahu golongan kurang berkemampuan layak mendapat bantuan dan nasihat guaman Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBK) bagi semua jenis kesalahan jenayah, kecuali yang membawa hukuman mati.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata bagi kesalahan yang membawa hukuman mati, mahkamah menyediakan perkhidmatan peguam yang dilantik mahkamah

Katanya, bantuan guaman dan khidmat nasihat dalam perkara jenayah akan diberikan kepada warga negara yang memerlukan bantuan guaman pada peringkat tangkapan, reman atau tahanan dan permohonan ikat jamin tanpa had pendapatan

Bagaimanapun, katanya, satu ujian kemampuan akan dijalankan untuk menentukan kelayakan orang yang akan menerima bantuan guaman pada peringkat perbicaraan dan rayuan di mahkamah.

“Ujian kemampuan akan dilakukan dan perkhidmatan peguam YBGK hanya akan diberikan kepada warga negara Malaysia yang memenuhi syarat dua kategori, iaitu mereka yang mempunyai sumber pendapatan tidak melebihi RM25,000 setahun akan diberi bantuan guaman secara percuma.

“Mereka yang mempunyai sumber pendapatan melebihi RM25,000 setahun tetapi tidak melebihi RM36,000 setahun akan dikenakan bayaran RM300,” katanya menjawab soalan bertulis Lim Lip Eng (DAP-Segambut). Lim meminta penjelasan adakah setiap tertuduh dalam kes jenayah ditawarkan khidmat guaman melalui YBGK untuk membela mereka.

Perdana Menteri berkata, bantuan guaman dalam kes jenayah penting bagi memastikan semua pihak mendapat hak kesamarataan di sisi undang-undang sebagai mana termaktub dalam Fasal (1) Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, apabila seseorang warga negara ditahan atas kesalahan jenayah, agensi penguatkuasaan yang berkenaan akan menghubungi Pusat Bantuan Guaman Negeri di bawah Majlis Peguam di Semenanjung Malaysia dan Persatuan Undang-Undang Sabah dan Persatuan Peguam Bela Sarawak bagi mendapatkan khidmat peguam yang berdaftar dengan YBGK.

YBGK diperbadankan pada 25 Januari 2011 sebagai satu syarikat khairat mengikut Akta Syarikat 1965 (Akta 125) akan memulakan operasinya pada akhir bulan ini


SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 20.03.2012

Tiada ulasan: