Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Isnin, 19 Mac 2012

Gaji minimum wajar ambil kira pendapatan keseluruhan

2012/03/19

PUTRAJAYA: Kadar gaji minimum wajar ditentukan dengan mengambil kira pendapatan keseluruhan seseorang pekerja dan bukan hanya berasaskan gaji pokok saja kerana tidak semua majikan menggunakan kaedah pembayaran gaji yang sama bagi pekerja masing-masing.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Datuk Lim Kok Cheong, berkata kadar gaji minimum tidak boleh dilakukan dengan menetapkan satu kadar untuk semua sektor atau bidang kerja

“Walaupun secara umumnya semua sektor menetapkan kadar gaji pokok, jumlahnya berbeza kerana ada sektor memberi insentif tambahan kepada pekerja, umpamanya sektor pembuatan dan perkhidmatan di mana gaji pokok adalah rendah tetapi insentif yang diperoleh boleh menimbal balas gaji berkenaan

“Jika kadar gaji minimum ini dinaikkan, pengusaha, terutama sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terpaksa berbelanja lebih. Justeru, ramai yang kurang senang dengan dasar baru kerajaan ini,” katanya ketika dihubungi di sini.

Bulan lalu, kerajaan mengumumkan untuk menetapkan kadar gaji minimum untuk kira-kira 3.2 juta pekerja swasta seluruh negara apabila Akta Majlis Perundingan Gaji Minimum 2011 dikuatkuasakan sepenuhnya nanti.

Kadar bersesuaian akan ditetapkan berdasarkan kajian Bank Dunia dengan mengambil kira lima faktor utama supaya tidak menyebabkan peningkatan pengangguran dan memberi kesan negatif kepada pelaburan terutama syarikat asing.

Lima faktor itu ialah kos sara hidup, petunjuk garis kemiskinan, gaji penengah, kadar produktiviti dan kadar pengangguran. Difahamkan, kadar gaji minimum yang disyorkan bagi Malaysia ialah antara RM800 hingga RM1,000.
Berikutan itu, ACCCIM mengesyorkan kerajaan menggunakan pendekatan memperkenalkan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) sebagai asas melaksanakan dasar gaji minimum iaitu secara berperingkat dengan berdasarkan sektor ekonomi dan kawasan geografi selain dimulakan di kawasan berpendapatan tinggi seperti Lembah Klang terlebih dulu.

Pertubuhan itu juga mencadangkan supaya dasar berkenaan dimulakan dalam sektor bernilai tinggi, produk bermutu tinggi dan sektor perkhidmatan seperti hotel lima bintang serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

ACCCIM juga berpendapat kadar gaji minimum hanya wajar diwajibkan bagi syarikat yang menggaji sekurang-kurangnya 50 pekerja dan perlu dilaksana secara berperingkat selain dipantau kesesuaiannya untuk tempoh tiga tahun sebelum diperluaskan kepada sektor ekonomi atau wilayah lain.

Kok Cheong berkata maklum balas ACCCIM daripada 965 IKS mendapati 47 peratus tidak bersetuju dengan kadar gaji minimum yang dikatakan kini dipertimbangkan oleh kerajaan tetapi baki 53 peratus mengalu-alukan langkah ini, kebanyakan membabitkan PKS yang sudah beroperasi kurang daripada tiga tahun.

Katanya, ini mungkin berlaku kerana PKS yang masih baru ini tidak perlu menanggung kos operasi yang tinggi dan tidak mempunyai ramai pekerja pada peringkat awal perniagaan masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, 62 peratus memberi maklum balas bahawa mereka mengalami masalah kekurangan pekerja dan antara yang terjejas teruk termasuk sektor perhotelan, pertanian dan pembuatan


SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 19.03.2012

Tiada ulasan: