Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Khamis, 16 Februari 2012

Usah keliru soal budaya, akidah

2012/02/16

Perbezaan, persamaan antara kaum perlu jelas difahami: Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, usaha memupuk persefahaman dan kesedaran menerusi perbincangan, majlis dialog dan pendidikan amat penting supaya orang ramai memahami dengan jelas segala perbezaan dan persamaan antara kaum di negara ini

Perdana Menteri berkata, rakyat umpamanya tidak harus terkeliru dengan apa dimaksudkan soal kebudayaan dan soal akidah agama.
Malaysia menyanjung tinggi keharmonian, kesejahteraan yang dikecapi selama ini hasil pengurusan yang sederhana yang memang selaras dengan ajaran Islam. - Najib Razak, Perdana Menteri
Beliau seterusnya memberi contoh kehadirannya pada sambutan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini, yang dipertikai oleh segelintir pihak apabila beliau memakai baju kurta, iaitu baju tradisional kaum India.

“Tapi orang itu tidak sedar bahawa di India ada berjuta-juta orang India beragama Islam yang memakai kurta hari-hari. Apakah mereka itu tidak beragama Islam?” katanya selepas jamuan makan tengah hari dan majlis ramah mesra dengan pemimpin agama, yang diadakan sempena sambutan ‘Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia’ di kediaman rasminya Sri Perdana di sini, semalam.

Najib seterusnya memberi contoh pakaian dipakai oleh Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, Datuk Mustapha Ma, yang menurutnya, mempamerkan ciri kebudayaan Cina, yang tidak seharusnya dikaitkan dengan soal akidah.

“Sudah tujuh keturunan dia beragama Islam. Ini soal kebudayaan bukan soal akidah, jadi isu seperti ini jika kita tak faham, ia boleh menimbulkan kecurigaan atau rasa benci antara kaum.
“Oleh itu, melalui jawatankuasa mempromosi persefahaman dan keharmonian antara penganut agama amat wajar kita terangkan perkara sebegini,” katanya.

Najib berkata, dalam kepesatan teknologi maklumat kini, apa juga yang dituturkan pihak tertentu, ia boleh disemarakkan atau menjadi api dalam sekam yang dapat merebak dengan meluas, mengakibatkan dunia hari ini berhadapan persekitaran lebih mencabar, sekali gus menuntut usaha memupuk persefahaman dan kesedaran berterusan.

Beliau berkata, Malaysia menyanjung tinggi keharmonian dan kesejahteraan yang dikecapi selama ini hasil pengurusan yang sederhana yang memang selaras dengan ajaran Islam.

“Walaupun sebelum ini kita tidak gunakan sebutan ‘wasatiyyah’ (sederhana) sebenarnya dasar kita memang berpaksi kepada konsep wasatiyyah ini seperti mana dikehendaki agama. Antara wasatiyyah ini, termasuk merujuk kepada aspek hormat kepada mereka yang menganut agama lain,” katanya.

Najib berkata, ajaran lain juga pada dasarnya mengetengahkan soal kesederhanaan menerusi cara dan sebutan masing-masing.

Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia bertujuan membangkitkan kesedaran dan kesefahaman antara penganut agama, demi keamanan sejagat serta memacu dunia ke arah persekitaran yang lebih sejahtera dan makmur.

Najib berkata, bahawa secara kebetulan, minggu pertama bulan ini agak unik apabila ada tiga acara yang cukup bermakna di Malaysia iaitu sambutan Maulidur Rasul, Chap Goh Mei dan Thaipusam.

“Jadi jika ada negara hendak ditonjolkan sebagai model dalam soal ini (perpaduan kaum), saya fikir tidak ada yang lebih baik dari Malaysia,” kata Perdana Menteri.

Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia adalah idea Raja Jordan, Raja Abdullah II dan puteranya Ghazi Muhammad yang menjadi utusan peribadi serta penasihat kepada baginda pada Perhimpunan Agung PBB Ke-65 di New York 2010. – BERNAMA


SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 16.02.2012

Tiada ulasan: