Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Khamis, 19 Januari 2012

Awas individu tidak bermoral menyamar jadi Justin Bieber di Internet

CANBERRA 18 Jan. - Polis Australia hari ini memberi amaran kepada ibu bapa agar memerhatikan anak-anak mereka ketika melayari Internet selepas satu kes cubaan gangguan seksual oleh seorang individu yang menyamar sebagai penyanyi pop sensasi, Justin Bieber dilaporkan.
Pada 9 Januari lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun menerima permintaan untuk bersembang menerusi video oleh seseorang yang menggunakan gambar dan tarikh lahir Bieber.
Selepas menerima jemputan itu, suspek kemudiannya menyuruh kanak-kanak tersebut beraksi seperti model yang membuka baju.
Akibat takut, kanak-kanak perempuan itu melaporkan hal tersebut kepada ibunya sebelum membuat laporan polis.
Komander Pasukan Jenayah Seks Negeri, Detektif Superintenden John Kerlatec berkata, perbuatan tersebut merupakan peringatan penting yang menunjukkan pelaku jenayah dalam talian tidak akan berhenti untuk memanipulasi kanak-kanak.
"Kami menasihatkan agar ibu bapa mendidik anak-anak mereka mengenai bahaya ini dan mengingatkan mereka supaya tidak mudah percaya dengan sesiapa yang mengaku sebagai selebriti," katanya.
Polis turut mengeluarkan beberapa garis panduan yang boleh dipatuhi golongan remaja dan kanak-kanak agar tidak menjadi mangsa individu yang tidak bertanggungjawab.
Antaranya ialah memeriksa laman web sosial dengan membenarkan rakan rapat sahaja yang boleh melihat butiran peribadi selain tidak meletakkan sebarang maklumat terperinci mengenai diri, alamat rumah dan keluarga.
Golongan remaja juga diingatkan supaya tidak meletak gambar sebenar termasuk nombor telefon bagi mengelakkan sebarang gangguan. - AGENSI


SUMBER DARIPADA UTUSAN MALAYSIA ONLINE 18.1.2012

Tiada ulasan: