Oleh Ziauddin Sharuddin dan Ifwan Tun Tuah
2011/12/14
NAJIB sambil diiringi Mohamad, bersalaman dengan orang ramai ketika hadir melancarkan PR1MA Sime Darby di Bandar Ainsdale, Jalan Labu dekat Seremban, semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kaedah itu adalah cara kerajaan campur tangan menjayakan perkongsian awam-swasta, tetapi kos prasarana berkenaan sangat kecil daripada nilai keseluruhan projek
Katanya, projek perumahan mampu milik dimajukan Sime Darby di sini, menepati konsep perumahan mampu milik dan berkualiti yang sedang diperjuangkan kerajaan untuk rakyat berpendapatan sederhana.
“Bagaimanapun, mereka tidak mampu akibat harga rumah sangat tinggi di pasaran, tetapi melalui kerjasama antara swasta dan kerajaan, saya percaya dapat membekalkan rumah berkualiti untuk dimiliki golongan ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan PR1MA Sime Darby di Bandar Ainsdale, Jalan Labu dekat sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan; Pengerusi Sime Darby Berhad, Tun Musa Hitam serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Mohd Bakke Salleh.
Kira-kira 62 hektar daripada 220 hektar pembangunan Bandar Ainsdale diperuntukkan untuk pembinaan 420 rumah mampu milik berkualiti.
Antara pemaju lain terbabit dalam fasa pertama PR1MA ialah Putrajaya Holdings, SP Setia Bhd, Tradewinds, Cyberview Sdn Bhd, MRCB Resources Bhd dan 1MDB dengan keluasan keseluruhan 370.04 hektar.
Terdahulu ketika berucap, Najib mengingatkan pemaju swasta supaya memajukan PR1MA sebagai projek untuk rakyat serta tidak mengambil terlalu banyak untung, tetapi pada masa sama tidak hingga menanggung kerugian.
Katanya, selepas PR1MA dilancarkan di Putrajaya Julai lalu dan kini di Bandar Ainsdale, lebih banyak projek perumahan mampu milik untuk golongan berpendapatan sederhana akan dilancarkan secara berperingkat di seluruh negara.
“Ketika dilancarkan di Presint 13 Putrajaya, sambutannya amat hebat hingga saya sendiri khuatir dan gerun. Ini kerana harga rumah dibina antara RM50,000 hingga RM60,000 lebih murah berbanding pasaran,” katanya.
Sementara itu, Najib berkata, kerajaan peka dengan kehendak dan keperluan rakyat, terutama apabila proses urbanisasi berlaku di negara ini menyebabkan kira-kira 70 peratus penduduk tinggal di bandar.
Katanya, ketika golongan berpendapatan rendah mendapat bantuan memiliki rumah dan golongan kaya tidak berdepan masalah berbuat demikian, golongan berpendapatan sederhana kurang mendapat perhatian menyebabkan kerajaan memperkenalkan PR1MA
SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 14.12.2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan