sham@bharian.com.my
2011/12/19
NAJIB bersama Yin Huah (kanan) menunjukkan isyarat 1Malaysia pada majlis pecah tanah Menara 12 tingkat HuaZong di Seri Kembangan, semalam.
SERI KEMBANGAN: Gabungan Persatuan Cina Malaysia (HuaZong) mencadangkan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dianugerahkan gelaran 'Bapa Transformasi' sebagai bukti dan pengiktirafan kepada zaman pemerintahan yang cukup istimewa dan dinamik
Presiden HuaZong, Tan Sri Pheng Yin Huah, berkata pengalaman politik lebih 33 tahun menyaksikan Najib berjaya melakukan banyak transformasi serta pembaharuan untuk negara.
Malaysia sudah melalui perjalanan penuh cabaran dan halangan, tetapi berjaya tanganinya gunakan konsep dan acuan sendiri berteraskan semangat 1Malaysia. - Najib Razak, Perdana Menteri
“Perdana Menteri mempamerkan perkhidmatan cemerlang dalam senario global yang kian bergolak serta persaingan politik tempatan yang cukup kompetitif. Rakyat dan negara dapat menyaksikan perubahan digerakkan untuk faedah semua lapisan masyarakat,” katanya pada majlis pecah tanah Menara 12 tingkat HuaZong oleh Perdana Menteri di Seri Kembangan di sini, semalam.Menara HuaZong dengan kos RM55 juta, bakal dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk muzium kebudayaan, dewan bankuasi, perpustakaan, bilik penyelidikan serta kemudahan persidangan moden.
Yin Huah berkata, HuaZong yang menaungi lebih 1,000 persatuan perniagaan Cina dengan keahlian lebih 1.5 juta orang, berikrar terus menyokong kerajaan melaksanakan semua agenda transformasi.
Sementara itu, Najib ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, falsafah 1Malaysia dibentangkan kerajaan bukan slogan kosong, tetapi mampu mentransformasikan pemikiran rakyat ke arah pembentukan negara maju dan makmur.
“Jika kita benar-benar memahami bagaimana mempertahankan negara menerusi konsep ini, kita yakin dapat membentuk sebuah negara yang kuat dan kukuh.
“Falsafah 1Malaysia yang sudah diterima ramai ketika ini, adalah yang terbaik untuk rakyat dan negara,” katanya sambil mengumumkan bantuan kerajaan RM5 juta untuk tabung pembinaan Menara HuaZong yang bakal dibayar dalam tempoh dua tahun, selain mengumumkan kesediaan kerajaan meluluskan pelepasan cukai kepada penyumbang dana itu.
Najib berkata, Malaysia sudah melalui perjalanan penuh cabaran dan halangan, tetapi berjaya menanganinya menggunakan konsep dan acuan sendiri berteraskan semangat 1Malaysia, selain dasar jangka panjang disusun bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran berkekalan di negara ini
SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 19.12.2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan