Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Khamis, 22 Disember 2011

ISU MENGENAI SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM ( SBPA )



Semakan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)
Posted: 21 Dec 2011 01:29 AM PST



Assalamua'alaikum & Salam Sejahtera,

untuk makluman kpd kakitangan Awam anda boleh semak gaji anda dalam skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam pada pautan berikut


http://sbpa.moha.gov.my/sbpa/index.php

ID Pengguna ; No IC anda

Katalaluan ; guna password sistem hrmis anda


 Berita ; CUEPACS Minta Tangguh SBPA
Posted: 21 Dec 2011 01:41 AM PST


Omar Osman (dua dari kanan) menunjukkan siaran akhbar mengenai bantahan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam kepada sebahagian penjawat awam di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Timbalan Presiden CUEPACS, Azih Muda (kanan). - BERNAMA




KUALA LUMPUR 18 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan berkuat kuasa 1 Januari depan.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya mahu CUEPACS diberi hak untuk turut sama dalam perundingan mengenai pelaksanaan skim tersebut.
"Kami sangat kecewa kerana kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak langsung mengadakan rundingan dengan CUEPACS sebelum menggubal dan melaksanakan SBPA.
"Tidak seperti sebelum ini, kami sentiasa diberi peluang untuk turut terlibat dalam rundingan sebelum sesuatu skim untuk kakitangan awam dilaksanakan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Bantahan SPBA di sini, hari ini.
Omar menegaskan kerajaan seharusnya memastikan setiap kakitangan perkhidmatan awam yang berjumlah 1.4 juta orang menerima maklumat tepat dan mendalam sebelum menerima opsyen pelaksanaan SBPA.
"Ini kerana, pegawai JPA yang membuat taklimat mengenai SPBA kepada kakitangan awam memberi maklumat berbeza-berbeza mengenai skim tersebut.
"Oleh itu, CUEPACS akan mengutarakan beberapa perkara mengenai SPBA yang dilihat mengelirukan kakitangan awam pada pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 22 Disember ini," katanya.
Jelas Omar, pada pertemuan itu nanti, CUEPACS juga akan membawa isu mengapa kesatuan itu tidak diberi peluang untuk turut sama dalam perundingan bersama-sama JPA sebelum skim itu dilaksanakan.
"Selain itu, tempoh opsyen yang singkat dan kenaikan gred gaji yang berbeza-beza akan dibincangkan pada pertemuan tersebut," katanya.
Omar sekali lagi menasihatkan penjawat awam agar menunggu keputusan pihaknya pada perbincangan yang akan diadakan bersama Najib sebelum menerima SBPA.

Sumber ; utusan malaysia


Berita ; SBPA: Melayu dalam sektor awam terpinggir
Posted: 21 Dec 2011 01:50 AM PST


KUALA LUMPUR, 21 Dis: Orang-orang Melayu yang berada dalam sektor awam jelas dipinggirkan oleh Kerajaan BN, malah diperlakukan seperti buruh paksa, sekiranya sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dilaksanakan tahun depan.

Realiti itu terserlah apabila sistem tersebut bukan memberikan keistimewaan kepada kakitangan yang berada di Kumpulan Sokongan yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu, malah lebih mementingkan mereka yang berada di dalam Kumpulan Premier dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, Kumpulan Premier terbahagi kepada empat iaitu Premier 1 yang meletakkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) di dalamnya , Premier 2, Premier 3 dan Premier 4 yang kesemuanya akan menerima kenaikan gaji amat tinggi menerusi SBPA.

Menurutnya, mereka yang berada di dalam Kumpulan Premier hanya berjumlah 36 dan sekiranya SBPA dilaksanakan nanti bagi menggantikan Sistem Saraan Malayasia (SSM) yang digunakan sekarang, KSN akan menerima kenaikan gaji amat tinggi sehingga RM60,000 sebulan.

Katanya, selain itu, KSN akan turut menerima bayaran-bayaran lain termasuk imbuhan tetap sebanyak RM9,300 sebulan, elaun perumahan RM3,750 sebulan, elaun pembantu rumah sebanyak RM2,000 sebulan, elaun kemudahan untuk perkhidmatan, penanggungan kerja, bayaran untuk isteri mengiringi suami ke majlis-majlis tertentu, elaun pakaian, air, letrik dan gas.

"Mereka yang berada di dalam Premier 2 akan menerima gaji RM42,000 sebulan, Premier 3 sebanyak RM40,000 sebulan dan Premier 4 sebanyak RM35,000," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Imbuhan tetap bagi mereka yang berada di dalam Premier 2 sebanyak RM8,200, Premier 3 (RM8,100) dan Premier 4 (RM8,000), manakala elaun perumahan masing-masing sebanyak RM2,750 sebulan dan elaun pembantu rumah sebanyak RM1,000 sebulan.

Mereka juga akan turut menerima bayaran-bayaran elaun lain yang agak tinggi termasuk elaun kemudahan untuk perkhidmatan, penanggungan kerja, bayaran untuk isteri mengiringi suami ke majlis-majlis tertentu, elaun pakaian, air, letrik dan gas.

Beliau difahamkan mereka yang berada dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi pula akan menerima kenaikan gaji agak tinggi sehingga sebanyak RM5,000 sebulan.

"Ini menjadikan gaji minima mereka yang berada dalam Turus (VU4/VK4) sebanyak RM15,850 dan maksima RM25,230, manakala gaji minima bagi Gred Utama Khas A atau Jusa A (VU5/VK5) sebanyak RM14,760 dan maksima RM22,880 sebulan," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Gaji minima bagi mereka yang berada dalam Gred Utama Khas B (Jusa B) sebanyak RM13,775 dan maksima RM20,750 sebulan, manakala gaji minima bagi Gred Utama Khas C atau Jusa C sebanyak RM12,000 dan maksima RM17,770 sebulan.

Jurang yang berlaku antara Kumpulan Premier serta Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Sokongan, tambahnya, amat ketara apabila Kumpulan Sokongan hanya akan menerima kenaikan gaji antara RM80.00 ke RM100.00 sebulan.

Penganiayaan terhadap Kumpulan Sokongan lebih ketara apabila mereka dimestikan menurunkan tandatangan bagi persetujuan untuk pelaksanaan SBPA sehingga 31 Disember ini, tanpa dijelaskan kedudukan sebenar tangga gaji mereka serta lain-lain bayaran.

Katanya, keadaan itu amat berbeza berbanding Kumpulan Premier dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi yang telah dimaklumkan lebih awal tentang tangga gaji dan bayaran-bayaran lain yang akan diterima oleh mereka sebelum sistem tersebut dilaksanakan, malah sejak beberapa minggu lalu.

"Ini menjadikan mereka yang berada di dalam Kumpulan Sokongan menjadi serba salah, tertekan dan terhina dengan apa yang dilakukan oleh Kerajaan BN itu terhadap mereka.

"Mereka itu pula adalah mewakili sejumlah besar daripada 1.4 juta orang kakitangan sektor awam yang kebanyakannya orang Melayu," tegasnya.

Lebih jauh dari itu, beliau menyifatkan perlaksanaan skim tersebut bertujuan untuk menjaga kepentingan KSN yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada bulan Mei tahun depan.

"Sekiranya skim itu dilaksanakan awal tahun depan, bermakna KSN yang akan bersara nanti akan berpeluang menikmati pencen yang tinggi kerana berkesempatan berkhidmat ketika skim itu dilaksanakan dengan menikmati gaji RM60,000 sebulan," katanya.

Beliau amat kesal kerana Kerajaan BN sanggup bertindak sedemikian hanya bagi kepentingan individu tertentu dalam perkhidmatan awam termasuk KSN, sehingga sanggup menekan dan menganiaya pekerja-pekerja lain yang jauh lebih besar jumlahnya.

Sehubungan itu, beliau menyokong penuh usaha Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk mempertahankan pendiriannya bagi mendesak Kerajaan BN menjelaskan mengenai kedududukan tangga gaji Kumpulan Sokongan terlebih dahulu, sebelum meminta kakitangan yang berada di dalam kumpulan itu menurunkan tandatangan masing-masing.

Beliau juga berharap agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs menubuhkan jawatankuasa khas bersama bagi membincangkan perkara itu demi kepentingan kakitangan sektor awam, khususnya mereka yang berada di dalam Kumpulan Sokongan, yang jelas teraniaya sekiranya skim SBPA dilaksanakan.

"Saya berharap agar Kerajaan BN akan menangguhkan terlebih dahulu perlaksanaan SBPA sehingga segala kezaliman yang berlaku bagi Kumpulan Sokongan itu diatasi, atau sehingga Cuepasc memberikan persetujuannya mengenai perkara itu," tegas beliau.



Tiada ulasan: