Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bharian.com.my
2011/11/04
- Kerajaan tak tunduk ugutan
- TPM beri penjelasan hari ini
"Ini bukan soal membuat keputusan terburu-buru. Kita bukan membuat keputusan berdasarkan politik, sebaliknya apa yang difikirkan terbaik untuk rakyat dan negara"
Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri
Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri
Katanya, beliau akan memberi penjelasan terperinci segala persoalan dan kebimbangan ibu bapa berhubung peralihan yang perlu dilalui anak mereka, kedudukan PPSMI serta pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), hari ini.
"Kerajaan tidak boleh bertindak `terdesak dan tertunduk' kepada kumpulan kecil yang berterusan menuntut PPSMI dikekalkan, kerana majoriti rakyat memahami serta menerima keputusan yang dibuat pada 2009 untuk memansuhkan dasar itu,” katanya.
Beliau menyifatkan pihak yang lantang menyuarakan desakan itu, termasuk Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE), sebagai melewati tempoh dan ketinggalan kerana membuat tuntutan selepas hampir dua tahun keputusan diumumkan dan dasar MBMMBI juga sudah dilaksanakan di sekolah.
“Sejak mengumumkannya (pemansuhan PPSMI) pada 2009, kita tidak menerima reaksi negatif. Sebahagian besarnya menerima baik. Saya bawa kepada Kabinet, diluluskan. Saya bawa ke Parlimen, ia dibincang dan dibahas, semua pihak bersetuju, termasuk pembangkang, pada waktu itulah. Sekarang apabila ada kumpulan begitu membuat desakan, mungkin pihak pembangkang pun hendak lompat masuk ke sana.
“Bagi kita, ini bukan soal Kementerian Pelajaran membuat keputusan terburu-buru. Kita bukan membuat keputusan berdasarkan politik, sebaliknya apa yang difikirkan terbaik untuk rakyat dan negara kerana kementerian memiliki cukup data dan maklumat mengenai bagaimana PPSMI dilaksanakan, apa hasil pelaksanaan itu sehingga kita membuat penilaian dan keputusan untuk tidak meneruskannya, ada asas yang kukuh.
“Sebab itu jika ada pihak yang mendesak, kita faham negara ini demokrasi dan tidak menyekat atau menghalang sesiapa bersuara walaupun mereka kadang-kadang sudah melebihi batas sehingga hendak mengugut, tetapi kerajaan tidak akan tunduk kepada tekanan sebegini,” katanya selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan guru Bahasa Inggeris yang menyertai Program Mentor Pengajaran Bahasa Inggeris (ELT) anjuran SMR HR Group di sini, semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SMR Group, Datuk Dr R Palan.
Program itu membabitkan 120 mentor dari seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand dan United Kingdom.
Mengulas ugutan berbaur politik, Muhyiddin berkata, terserah kepada masyarakat untuk menilai pihak terbabit.
“Sebenarnya soal PPSMI sudah tutup. Saya pun sudah mengatakan bahawa PPSMI sudah tidak ada lagi. Mulai tahun ini, ia tidak lagi dilaksanakan. Kita sudah melaksanakan dasar baru (MBMMBI) di sekolah seluruh negara. Muktamad. Noktah.
“Yang rakyat ingin tahu ialah bagaimana peralihan itu kerana ada pelajar yang sudah berada dalam sistem (PPSMI) sebelum kita hendak memansuhkannya. Oleh itu, kita mahu proses pembelajaran mereka tidak tergendala.
“Mereka ini mungkin kita akan beri pertimbangan, esok (hari ini) saya akan jelaskan secara terperinci bagaimana peralihan itu berlaku supaya ibu bapa tidak risau.
“Saya ada menerima SMS daripada ibu bapa yang bimbang, saya faham, saya pun ada anak, saya tahu. Kita tidak mahu ganggu mereka, jadi saya akan umumkan bagaimana kelonggaran dan proses peralihan itu akan dilakukan,” katanya.
Mengenai kenyataan MCA dan MIC yang turut meminta kerajaan mengkaji semula keputusan memansuhkan PPSMI pula, Muhyiddin berkata, dua parti komponen BN itu tidak menyatakan bantahan tetapi sekadar memberi pandangan tambahan.
Sambil berpendapat pihak berkenaan akan memahami apabila penjelasan diberikan, beliau berkata, MCA dan MIC juga adalah sebahagian daripada kerajaan di mana wakil mereka dalam Kabinet turut bersetuju ketika keputusan memansuhkan PPSMI dibuat.
SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 04.11.2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan