Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Khamis, 20 Oktober 2011

Wujud kuota lepasan matrikulasi ke IPTA

Oleh Norakmah Mat Youb dan Nor Fariza Ramlan

2011/10/20

Pelajar bimbang keciciran ke peringkat ijazah sarjana muda

KUALA LUMPUR: Lepasan matrikulasi yang gagal melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menyarankan kerajaan mewujudkan kuota pengambilan bagi mengelak berlakunya lambakan dan keciciran.

Ia sekali gus mengelak lebih ramai lepasan matrikulasi tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di IPTA sehingga terpaksa membelanjakan wang yang banyak ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Lepasan matrikulasi dari Kolej Matrikulasi Melaka, Nor Zahan Abdul Karim, 19, kecewa apabila jaminan yang digembar-gemburkan bahawa peluang mereka tinggi untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA tinggi, meleset sama sekali.
Saya menamatkan pengajian pada April lalu dalam bidang perakaunan, malah, sudah mengambil keputusan untuk memohon kursus berkaitan di beberapa IPTA tempatan.

Malangnya, saya langsung tidak terpilih walaupun keputusan saya layak ke IPTA," katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

Zahan berkata, dia tidak berputus asa dan mengemukakan permohonan rayuan kemasukan bagi sesi November, namun, menerima nasib yang sama iaitu tidak diterima masuk.

Beliau yang kini melanjutkan pelajaran di sebuah IPTS di Selangor berharap kementerian akan memberi perhatian kepada lepasan yang senasib dengannya.
Bekas pelajar, Norshahidah Masahid, 19, berkata beliau terkilan dan sedih kerana tidak dapat meneruskan pelajaran ke peringkat tertinggi walaupun sudah menghantar rayuan.

Norshahidah yang mengambil matrikulasi perakaunan di Kolej Matrikulasi Melaka berkata, beliau dimaklumkan ramai lepasan matrikulasi bidang itu tidak dapat melanjutkan pelajaran.

"Terkilan kerana seolah-olah membuang masa setahun begitu saja," katanya yang kini menunggu tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di IPTA.

Ibu kepada lepasan matrikulasi, Norlia Mohd, 42, berkata sepatutnya lepasan matrikulasi disediakan tempat secara automatik di IPTA bagi mengelakkan mereka membuang masa begitu saja.

"Saya agak terkilan kerana anak tidak dapat melanjutkan pelajaran ijazah sarjana muda di IPTA walaupun layak. Kerajaan perlu mengambil serius perkara ini," katanya.

Sementara itu, EXCO Pemuda UMNO, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Kementerian Pengajian Tinggi perlu menambah bilangan tempat bagi kursus sarjana muda di universiti awam dan universiti swasta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan tiada lepasan matrikulasi tercicir akibat kekurangan tempat di peringkat universiti.

Beliau berkata, pilihan menyambung pengajian ke universiti swasta, bukanlah saluran bagi lepasan matrikulasi yang sepatutnya memasuki universiti awam.

Beliau berkata, kementerian terbabit perlu melakukan unjuran pengambilan matrikulasi dan penawaran tempat di universiti awam bagi memastikan tiada pelajar matrikulasi tercicir.

Kementerian boleh menimbang menambah bilangan tempat di universiti awam seperti UiTM walaupun jumlah pengambilan di universiti penyelidikan dikurangkan.

Pada masa sama, universiti swasta GLC seperti Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Tenaga Nasional boleh memberi keutamaan kepada lepasan matrikulasi tertakluk kelayakan dan bantuan kewangan dari kerajaan," katanya kepada Berita Harian, semalam


SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN 20.10.2011

Tiada ulasan: