Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Khamis, 20 Oktober 2011

Vitamin E Tokotrienol cegah kanser

Soalan: Melalui pembacaan, Vitamin E baik untuk kecantikan dan kesihatan wanita. Namun apabila mengunjungi farmasi, terdapat beberapa jenis vitamin E yang membuatkan saya agak keliru untuk membuat pilihan. Adakah semua adalah sama atau berbeza dari segi fungsinya?
Jawapan
Banyak pendedahan mengenai kebaikan Vitamin E, sama ada untuk kesihatan mahupun kecantikan. Walaupun penggunaannya meluas di kalangan wanita, namun ia lebih tertumpu kepada kecantikan kulit. Dengan sebab itulah banyak produk yang menawarkan untuk kegunaan luaran seperti untuk disapu terus ke atas kulit seperti untuk mencegah dan merawat parut.
Penyelidikan demi penyelidikan kini turut menemui manfaat Vitamin E yang lebih luas dan tidak terhad kepada kecantikan semata-mata, malah pengambilan dalam suplemen harian dengan dos yang sesuai boleh menyokong memperbaiki masalah kesihatan tertentu. Hasil penyelidikan juga mendapati ia tidak terhad kepada satu jantina sahaja, malah lelaki dan wanita memperolehi manfaat kesihatannya.
Vitamin E Tokotrienol yang diekstrak daripada buah kelapa sawit merupakan anti oksida poten, iaitu 40 hingga 60 kali lebih berkesan berbanding Vitamin E tokoferol. Ia turut berbeza dengan tokoferol dari segi strukturnya, iaitu ketidaktepuan yang membezakan 'kebendaliran' dan fungsi-fungsi biologi yang memberikan manfaat unik.
Sempena kempen Pink Ribbon bulan oktober yang bertujuan meningkatkan kesedaran serta sokongan ke atas kempen menangani isu kanser payu dara, hasil penyelidikan turut membuktikan bahawa pengambilan Vitamin E tokotrienol memberi kesan memberangsangkan.
Kanser payu dara kekal sebagai kanser yang paling umum di kalangan wanita di seluruh dunia. Malah peningkatan statistik kanser payu dara dianggap membimbangkan. Setiap tahun, satu juta wanita didiagnosis dengan kanser payu dara. Kebarangkalian setiap seorang daripada dua puluh orang wanita berisiko mendapat kanser payu dara.
Pengurangan risiko kanser payudara
Tokotrienol boleh dijadikan senjata menentang kanser kerana mekanismenya dalam mencegah proliferasi dan kebolehhidupan sel tumor serta mempamerkan ciri-ciri anti-kanser yang unggul, berbanding antioksida lain. Ia bukan sahaja menghalang pertumbuhan sel-sel kanser, bahkan memulakan apoptosis - proses kematian sel-sel kanser yang tidak mampu dilakukan oleh Vitamin E Tokoferol.
Kajian turut mendapati bahawa paras tokotrienol banyak berbeza dalam tisu-tisu berkanser dan tidak berkanser, namun paras tokoferol adalah sama. Ini menunjukkan bahawa tokotrienol dapat menyekat pertumbuhan sel-sel kanser payudara secara berkesan, manakala tokoferol tidak mempunyai kesan yang signifikan.
Sebagai terapi tambahan kanser payudara
Tokotrienol juga bertindak secara sinergi dengan Tamoxifen - ubat rawatan kanser payudara yang merencat aktiviti estrogen. Tokotrienol juga meningkatkan keberkesanan Tamoxifen tanpa mengira status reseptor estrogen. Kajian lima tahun ke atas 240 penghidap kanser payudara peringkat awal, menunjukkan terapi kombinasi Tamoxifen dan tokotrienol mempunyai kadar daya hidup yang lebih tinggi dan kejadian pengulangan yang lebih rendah berbanding rawatan Tamoxifen sahaja. Dengan itu, tokotrienol berpotensi sebagai terapi tambahan dengan ejen anti-kanser lain bagi mengelak toksisiti atau tindakan terapeutik yang terhad dengan monoterapi yang berdos tinggi.
Penyelidikan lain juga memperlihatkan vitamin E tokotrienol, khususnya gama dan Delta memberi perlindungan selamat dan berkesan terhadap radiasi. Tokotrienol juga boleh mengurangkan kesan kerosakan akibat radiasi kerana bahan anti oksida dan anti-radangnya.
Berbanding sumber tokotrienol yang lain seperti minyak bran beras, germa gandum, barli, oat dan beberapa lagi, minyak dari buah kelapa sawit didapati lebih lengkap. Malah ia sesuai untuk penggunaan jangka panjang serta mempamerkan profil keselamatan yang baik


SUMBER SEPENUHNYA DARIPADA UTUSAN ONLINE 20.10.2011

Tiada ulasan: