Salam Perkenalan kepada saudara dan saudari hari ini. Terima kasih kerana membuka blog saya hari ini. Apa yang baik datang daripada Allah dan tidak baik itu datang dari kelemahan diri sendiri. Semoga ada maklumat dalam blog ini yang bole diguna pakai dalam kehidupan kita seharian.

Isnin, 6 Jun 2011

Jika kita berkeinginan untuk melanjutkan pelajaran ke IPTS, pastikan terlebih dahulu sama ada sijil yang dikeluarkan nanti diiktiraf ataupun sebaliknya..INGAT TAU...


Buat semakan sebelum pilih IPTS 
Oleh Nik Sukry Ramli

PELAJAR perlu mengambil kira lapan faktor sebelum membuat keputusan memilih institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk melanjutkan pengajian mereka.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan IPTS (SPIPTS), Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Prof Ir Datin Dr Hamisah Tapsir, berkata faktor itu perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penyedia program pengajian tidak bertanggungjawab.

 “Antara faktor yang perlu diberi perhatian ialah kualiti dan rating kursus yang ditawarkan; perakuan dan kelulusan kursus pengajian; yuran pengajian dan polisi pemulangan yuran; tawaran pembiayaan pengajian; kemudahan (penginapan); peluang melanjutkan pelajaran dan perkembangan kerjaya; aktiviti dan persatuan pelajar dan akhir sekali lokasi IPTS itu.
 “Semua elemen itu perlu diberi pertimbangan terutama kepada ibu bapa sebelum membuat keputusan menghantar anak mereka melanjutkan pengajian.

“Kami sentiasa memantau IPTS dan tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana IPTS yang mengelirukan pelajar dan ibu bapa melalui iklan mereka,” katanya pada Taklimat Media Jaminan Kualiti IPTS di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau berkata, kaedah paling tepat memastikan kursus ditawarkan IPTS diiktiraf atau sebaliknya ialah melalui semakan dengan Unit Pengiktirafan Kelayakan, Bahagian Pembangunan Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Katanya, bagi menyemak status kursus pula, pelajar dan ibu bapa boleh melakukan semakan dengan Malaysian Qualification Agency (MQA).
“Kita mempunyai 488 IPTS yang beroperasi di negara ini, termasuk 33 daripadanya tidak aktif. Pemantauan berterusan sejak 2000 lagi, dan bagi merealisasikan hasrat kerajaan dan KPT menjadikan Malaysia hub pendidikan tinggi pilihan, usaha ini akan diperkemaskan.

“Untuk itu, SPIPTS akan melancarkan satu kempen khusus untuk memberikan maklumat ini kepada ibu bapa dan pelajar mulai Jun ini. Selain mendedahkan kepada orang ramai mengenai perkara ini, kami juga memberikan maklumat kesalahan besar yang sering dilakukan pengendali IPTS,” katanya.

Antara kesalahan yang dikesan ialah mengendalikan kursus atau program sebelum mendapat kelulusan; menukar dan mengubahsuai premis tanpa kebenaran dan pengambilan pelajar di bawah syarat kelayakan mengikuti pengajian ditawarkan.

Selain itu, pengendali IPTS juga dikesan menerbitkan iklan yang mengelirukan bagi menarik permohonan; beroperasi di premis tambahan yang tidak didaftarkan dan menggaji tenaga pengajar tanpa permit.

“Kesalahan ini boleh didakwa di mahkamah dan dikenakan kompaun maksimum RM50,000 serta penjara sehingga enam bulan,” katanya

niksukry@bharian.com.my
2011/05/11

Tiada ulasan: